Namun, kurang pendedahan dan publisiti, destinasi pelancongan yang ada ini kurang diketahui ramai termasuk penduduk tempatan.
Di Kuala Kedah misalnya, terdapat muzium yang didirikan Jabatan Muzium di tapak asal runtuhan sebuah kota yang amat terkenal dalam sejarah negeri Kedah pada abad ke-17.
Namun, kewujudannya kurang disedari kebanyakan orang.
Muzium Kota Kuala Kedah dibangunkan kerajaan pada November 2000 selepas diwartakan ‘Tapak Tanah Bersejarah’ pada 31 Ogos 1978.
Usaha pihak kerajaan memulihara tinggalan sejarah ini amat tepat kerana kota ini salah satu tinggalan kerajaan tua di Tanah Melayu.
Kota yang digelar Kota Kuala Bahang ini dibina semula pada tahun 1771 di bawah pemerintahan Sultan Mukarram Syah, Sultan Kedah ke-20 selepas dimusnahkan armada Bugis pada 1770 dan siap pada 1780.
Ia dibina menggunakan tenaga mahir yang dibawa khas dari India. Selepas itu, ia mengalami pelbagai liku kejadian dan sejarah.
Kota ini pernah diserang kerajaan Bugis, Acheh dan Siam.
Ketika pemerintahan British, beberapa pejabat kerajaan dan rumah api dibina di sini. Dan, apabila Jepun menakluki Tanah Melayu, mereka menjadikan kawasan ini markas tentera.
Kompleks ini terdiri daripada sebuah bangunan kayu yang menempatkan pelbagai artifak bersejarah dan dikelilingi tembok-tembok asal kota yang dibaik pulih termasuk beberapa laras meriam yang masih sempurna bentuknya.
Pihak muzium juga membangunkan kembali pintu gerbang yang dikenali sebagai Pintu Gerbang Kancapuri yang runtuh pada tahun 1970 dan pintu kota yang masih utuh sehingga kini.
Antara bahan yang dipamerkan di sini adalah pedang asal tentera Jepun, barangan seramik yang ditemui ketika usaha cari gali dilakukan dan mata wang yang pernah digunakan selain maklumat berkaitan Kota Kuala Kedah.
Persekitaran muzium yang indah sering menjadi pilihan jurugambar mengabdikan hasil seni mereka termasuk sesi fotografi bersama pengantin.
Malah, tebing Kuala Kedah yang bersebelahan dengan tembok kota adalah destinasi yang popular bagi kaki pancing.
Jika menggunakan feri dari Langkawi, kita dapat melihat kota ini yang tersergam di sebelah kiri pintu kuala selepas bangunan Marina Kuala Kedah yang menempatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Muzium ini dibuka dari hari Sabtu sehingga Khamis dan masuk adalah percuma.
Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro: 2012/10/25
No comments:
Post a Comment