Di bulan Ramadan ini, pelbagai juadah istimewa dan unik boleh dilihat sedangkan pada bulan lain, ia tidak boleh diperoleh.
Bagi penggemar tepung pelita, mereka memang menanti kedatangan bulan puasa kerana dapat menikmati juadah kegemaran itu.
Di Parit Buntar dan Nibong Tebal, sudah menjadi tradisi sejak dulu lagi premis makanan yang menghidangkan pelbagai jenis kerang dan siput setiap malam di bulan puasa.
Siput-siput ini dihidangkan secara rebus atau bakar, cuma kelazatan kuah kacang pencicah yang membezakan antara satu kedai dengan kedai yang lain.
Salah satu kedai yang popular di sini ialah Kantin Hutan Lipur Bukit Panchor. Terletak tidak jauh dari pekan Nibong Tebal, ia menjadi tumpuan penggemar makanan laut.
Malah, ada sanggup datang dari Ipoh dan Alor Setar semata-mata untuk menikmati kerang rebus itu.
Kedai milik Sarimah Mat Desa ini menyediakan pelbagai jenis siput seperti kerang bulu, kupang, siput duri dan siput halia.
Mengusahakan kedai itu bersama suami, Mohd Rashid Abdullah, perniagaan yang dimulakan sejak lapan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.
Menurut Sarimah, setiap malam, hampir 140 kilogram (kg) kerang dijual. Jumlah itu bertambah pada malam minggu.
“Pelbagai jenis kerang yang dijual di sini antaranya kerang bulu, kupang, siput duri dan siput halia.
“Kerang yang digunakan adalah segar dan bekalan diambil setiap hari di jeti nelayan Sungai Udang.
“Harga yang dikenakan kepada pelanggan adalah berpatutan iaitu antara
RM8 hingga RM15 sekilo,” katanya.
Di samping menghidangkan kerang dan siput, rojak buah dan ketam serta udang celup tepung turut disediakan.
Lebih menarik, hidangan telur belangkas juga dijual kepada pelanggan berharga RM10 seekor.
Hidangan telur belangkas ini juga lain dari yang lain kerana hanya yang berpengalaman boleh memproses belangkas kerana tersilap langkah, ia boleh memabukkan.
Pelanggan, Helmi Halim berkata, peluang menikmati hidangan kerang dan siput bersama kawan-kawan selepas solat sunat tarawih adalah satu kemestian.
“Selain kuah kacang yang lazat, persekitarannya yang dikelilingi pokok hutan dan anak sungai menambahkan lagi kedamaian bersantai.
“Ada kalanya, saya bersama kawan-kawan boleh duduk di sini sehingga 2 pagi,” katanya.
Ruang meletak kereta yang luas dan kemudahan lain turut menjadikan Kantin Hutan Lipur Bukit Panchor ini pilihan ramai.
Malah, ada kalanya pelanggan terpaksa menunggu giliran kerana ketiadaan meja dan kerusi untuk menjamu selera.
Mahu menikmati hidangan siput dan kerang segar ini, kunjungan ke Hutan Lipur Bukit Panchor pastinya tidak mengecewakan.
Namun, sajian ini hanya boleh dinikmati sempena Ramadan. Jika tidak sempat merasainya tahun ini, kunjungi kantin Hutan Lipur Bukit Panchor di Ramadan tahun depan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24
No comments:
Post a Comment