Wednesday, October 24, 2012

Mencari Damai Di Tengah Hutan - Bukit Panchor

PULAU Pinang memang terkenal sebagai negeri yang mempunyai banyak tempat menarik. Pantai Batu Feringgi, Padang Kota Lama dan Bukit Bendera adalah antara destinasi yang popular.
Nilai sejarahnya juga istimewa sehingga bandar raya Georgetown dinobatkan Tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada 7 Julai 2008.

Bagaimanapun, apabila membicarakan sektor pelancongan di Pulau Mutiara, isunya hanya tertumpu di bahagian pulau saja.

Hakikatnya, terdapat juga destinasi menarik di bahagian tanah besar negeri itu. Antara destinasi lain ialah Taman Negeri Bukit Panchor di Nibong Tebal, daerah Seberang Prai Selatan.

Taman Negeri itu terletak dalam Hutan Simpan Bukit Panchor meliputi kawasan seluas 445 hektar dan ketinggian tertingginya 416 meter dari aras laut.

Suasana redup dikelilingi pelbagai jenis pokok seperti karas, meranti tembaga dan palas tikus serta deruan air Sungai Buaya dan bunyi-bunyian unggas rimba memberi ketenangan kepada pengunjung.

Ia menjadi pilihan utama penduduk sekitar untuk beriadah pada waktu petang dan berkelah pada hujung minggu.

Jabatan Hutan Pulau Pinang menguruskan taman itu menyediakan pelbagai kemudahan kepada orang ramai termasuk tapak perkhemahan, tandas dan wakaf.

Baru-baru ini, dua chalet dibina sebagai alternatif lain bagi pengunjung yang mahu bermalam.

Air terjun buatan dibina dengan landskap menarik sekali gus mengubah wajah Sungai Buaya seperti air terjun semula jadi dan amat sesuai untuk berkelah.

Taman Negeri Bukit Panchor sesuai untuk aktiviti luar, pilihan pelajar sekolah, IPT dan kelab rekreasi yang sukakan cabaran.

Antara aktiviti yang popular ialah merentas hutan selama 90 minit dengan perjalanan yang mencabar ke Gua Kelawar yang menjadi habitat ribuan kelawar.

Tapak perkhemahan mampu memuatkan hampir 200 peserta dalam satu masa. Ia lengkap dengan dataran dan pentas, tempat memasak, dewan makan, bekalan air paip dan elektrik serta tandas khas berasingan.

Pelantar pejalan kaki sejauh 300 meter yang merentasi paya atau dikenali Laluan Pelantar Wetland membolehkan pengunjung melihat pohon yang menghiasi paya, pelbagai jenis serangga dan anak ikan.

Untuk ke taman itu, jaraknya cuma 10 kilometer dari pekan Nibong Tebal dan berhampiran sempadan Pulau Pinang dan Bandar Baharu, Kedah.

Dari Lebuh Raya Utara-Selatan dari Kuala Lumpur atau Juru, anda boleh keluar melalui susur keluar Jawi dan menghala ke arah Nibong Tebal.
Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro :3/3/11

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati