Perlis Indera Kayangan antara destinasi menarik untuk percutian bersama anak-anak khususnya melawat Muzium Kota Kayang.
Terletak hanya lima kilometer dari Kangar dan tujuh kilometer dari Pekan Kuala Perlis, muzium itu menyimpan pelbagai khazanah dan sejarah mengenai kewujudan Perlis itu sendiri dari zaman pra sejarah hingga ke hari ini.
Muzium berkenaan dibina atas tapak kota purba yang dikenali Kota Indera Kayangan iaitu pusat pemerintahan Kesultanan Kedah ketika Perlis masih di bawah pentadbirannya pada 1664.
Pelbagai artifak purba yang ditemui sekitar runtuhan kota dan Perlis dari zaman gua batu (Hoabihian) hingga ke zaman Neolitik dipamerkan.
Artifak lebih 3000 tahun lalu seperti serpihan seramik, tembikar dan senjata dapat dilihat menerusi Galeri Arkeologi muzium itu.
Sementara di Galeri Sejarah pula, pengunjung dapat menyelusuri kronologi pembinaan Kota Kayang dan menghayati kehidupan golongan bangsawan serta diraja Perlis.
Tidak ketinggalan Galeri Diraja yang menceritakan susur galur salasilah keluarga diraja Perlis bermula dari Rasulullah dan replika bunga emas yang pernah menjadi ufti ke Siam satu ketika dulu.
Pengunjung juga dapat melihat pelbagai jenis senjata yang digunakan pahlawan Melayu di Galeri Senjata, seperti tek pi, pedang dan keris.
Kompleks muzium itu bukan saja lokasi untuk pameran bahan bersejarah malah ia turut mempunyai sebuah taman rekreasi unik terletak di bahagian belakang muzium.
Berlatarkan dinding bukit batu kapur dan pokok-pokok bonsai dari jenis kesinai, taman ini pernah menjuarai pertandingan landskap peringkat negeri dan mewakili Perlis ke peringkat Kebangsaan.
Telaga yang pernah digunakan keluarga diraja juga ada di sini. Ia dikatakan tidak pernah kering walaupun musim kemarau.
Bagi yang berkesempatan ke sini, selepas melawat muzium dan bersantai di taman landskap yang menarik, luangkan masa menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan.
Dikenali Makam Almarhum Kayang Pertama, ia adalah tempat persemadian Almarhum Sultan Kedah ke 15 yang memerintah Perlis.
Puas melihat sendiri tinggalan sejarah yang cukup bermakna itu, menjelajah di Gua Kayang yang berhampiran makam menambahkan keseronokan berada di situ.
Gua sejauh 50 meter ini adalah laluan pengawal istana zaman dulu untuk naik ke puncak bukit bagi tujuan berkawal di pondok-pondok kawalan.
Muzium Kota Kayang yang ditadbir Jabatan Muzium Negara itu dibuka setiap hari kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha saja selain masuk adalah percuma.
Ia boleh dikatakan pusat sumber yang lengkap untuk mengkaji mengenai perkembangan negeri Perlis Indera Kayangan.
Sekiranya ada yang tertanya-tanya alasan pemerintah Perlis menggunakan gelaran Raja, bukannya Sultan seperti pemerintah lain, muzium itu ada jawapannya.
Jadi, penuhilah masa berharga anak-anak kita dengan berkunjung ke tempat-tempat yang bermanfaat dan cuti mereka tidak berlalu sia-sia.
(Harian Metro 8/12/11)
No comments:
Post a Comment