Sunday, October 28, 2012

Naik Bot di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh



BAGI pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) yang melewati bandaraya Ipoh, Perak pasti terpandang papan tanda atas puncak bukit yang tertulis ‘Taman Rekreasi Gunung Lang’ di sebelah kiri menghala ke utara.
Ramai pasti tertanya-tanya apakah yang menarik di situ. Justeru, bagi yang berkesempatan, eloklah memandu ke susur keluar di Ipoh dan meneroka taman berkenaan yang terletak tidak jauh dari Plaza Tol Jelapang.

Persinggahan ke taman rekreasi di Jalan Kuala Kangsar itu pasti akan meninggalkan kenangan manis buat pengunjung.

Berlatar belakangkan bukit batu kapur yang menarik dan tasik buatan terbentang luas, ia menjadi semakin terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negeri.

Taman ini mula dibangunkan pada 1999 oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Landskap Negara di tanah seluas 28 hektar.

Kini, taman ini dipenuhi pelbagai spesies pokok bunga yang kebanyakannya daripada jenis bougenvilla dan heliconia yang diimport khas dari
luar negara.

Pondok rehat dan menara peninjau turut dibina bagi kemudahan orang ramai.
Kanak-kanak juga pasti seronok ke sini kerana terdapat taman permainan yang luas tersedia.

Menariknya, untuk ke taman rekreasi ini, pelawat akan dibawa mengelilingi tasik dengan bot yang disediakan MBI.

Ikan keli, tilapia dan lampam yang bersaiz besar banyak terdapat di jeti bot.
Lazimya, pengunjung akan membeli makanan ikan yang disediakan.

Ini menyebabkan ikan berkenaan berkerumun di tepi jeti dan tidak takut kepada manusia.

Selepas mengelilingi tasik dengan menaiki bot dan tiba ke taman di seberang, pengunjung diberi peluang bersiar-siar di taman itu sepuas hati.

Jika sudah selesai, hubungi pemandunya dan bot akan sampai secepat mungkin untuk membawa anda pulang.

Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh ini semakin mendapat perhatian apabila haiwan seperti rusa dan burung unta turut dipelihara.

Sekiranya taman ini dijadikan zoo mini, ia pasti lebih menarik untuk tatapan pelancong.

Tiada bayaran masuk dikenakan kepada orang ramai, cuma pengunjung perlu membayar tiket menaiki bot sebanyai RM3 bagi dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak.

Lantaran itu, sekiranya anda berada di Ipoh, jangan lepaskan peluang melawat taman ini.

Bagi pengguna lebuh raya yang tidak tergesa-gesa untuk ke destinasi dituju, Taman Rekreasi Gunung Lang boleh dijadikan satu hentian untuk melepaskan penat dan lelah selepas berjam-jam memandu.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati