Wednesday, October 24, 2012

Macam-macam Ada di Padang Besar

PADANG Besar memang destinasi popular di utara tanah air. Selain menjadi pintu masuk utama ke Thailand, ia juga syurga membeli-belah di kalangan rakyat Malaysia.
Produk dari Thailand menjadi jualan utama peniaga di sini, antaranya pakaian, aksesori wanita, kelengkapan perkahwinan dan perkakasan dapur di Medan Arked Peniaga.

Di pasar yang terletak bersebelahan arked pula, pengunjung boleh mendapatkan bahan-bahan mentah seperti beras pulut, buah-buahan dan makanan ringan seperti biji gajus dan jeruk.

Malah, pengunjung boleh tawar menawar harga barangan yang dihajati sehingga mendapat harga yang paling murah.

Tetapi, elak membeli barangan yang dilarang seperti mercun dan bunga api kerana anda mungkin dikenakan tindakan jika dirampas dalam sekatan Unit Pencegahan Penyeludupan berhampiran pekan Padang Besar.

Setelah penat membeli-belah, pelawat dapat pula menjamu selera di deretan kedai makan berhampiran. Kebanyakannya menyajikan menu popular Thai seperti tomyam, pulut ayam dan pulut mempelam.

Di samping arked dan pasar, kedai di sekitar pekan Padang Besar turut menjual pelbagai barangan dengan harga murah, malah kerajaan negeri Perlis membina banyak rumah kedai bagi menampung permintaan tinggi pelancong.

Dalam perjalanan ke Padang Besar, anda akan dapat melihat panorama indah sawah padi dan gunung-ganang selain Tasik Timah Tasoh dan ladang penternakan burung unta dan rusa.

Malah, di sepanjang jalan sebelum tiba di Padang Besar, ramai peniaga menjual tanaman bonsai.

Jika mahu melihat ladang tebu di Chuping, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan susur di Changlon.

Di sini, sebahagian hasil gula yang anda nikmati dihasilkan di ladang yang seluas mata memandang.

Selepas puas membeli-belah di Padang Besar, anda boleh mengunjungi Kangar yang jaraknya kira-kira 32 kilometer atau singgah sebentar di Kuala Perlis untuk menikmati laksa utara yang enak.

Jika mempunyai masa, anda boleh menaiki feri dari Kuala Perlis ke Langkawi untuk melihat keindahan pulau Mahsuri atau me�nyambung keseronokan membeli belah di pulau bebas cukai itu.

(Harian Metro 26/5/11)

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati