Bagi yang mempunyai banyak masa, percutian keluarga pasti menjadi agenda utama.
Salah satu destinasi menarik yang boleh dikunjungi pada musim cuti sekolah nanti ialah Pusat Sains Negara Wilayah Utara, kira-kira lapan kilometer dari bandar raya Alor Setar, Kedah.
Dibuka pada 1 Mac 2010 yang dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili, tahun lalu, pusat sains itu menerima lebih 2,000 pengunjung.
Di sudut galeri, bahan pameran berbentuk interaktif dan infomatif mencabar daya imaginasi serta kreativiti pengunjung.
Ia juga sesuai untuk membantu perkembangan otak kanak-kanak terutama mereka di peringkat awal persekolahan.
Selain itu, pengunjung boleh melihat sendiri misteri sains yang menjadi tumpuan ramai iaitu berbasikal meniti kabel, rumah gempa bumi dan tayangan 3D.
Pusat sains bersedia menerima tetamu yang datang secara berkumpulan termasuk rombongan sekolah dari Thailand.
Bagaimanapun, pastikan tempahan dibuat sekurang-kurangnya seminggu lebih awal supaya Pusat Sains Negara Wilayah Utara dapat membuat persediaan.
Pusat sains itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, tandas dan tempat meletak kenderaan.
Disebabkan belum ada kemudahan kafeteria, pengunjung dinasihatkan membawa bekalan makanan dan minuman sendiri.
Selain mengunjungi pusat sains, ibu bapa boleh membawa anak mengunjungi Muzium Padi dan bersantai di Pusat Rekreasi Gunung Keriang yang terkenal dengan batu kristal.
Pusat sains ini tidak mengenakan bayaran masuk. Ia dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan ditutup Jumaat.
Maklumat lanjut, hubungi Pusat Sains Negara Wilayah Utara di talian 04-735 3373 atau layari laman web www.psn.gov.my
Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro :11/5/2012
No comments:
Post a Comment