Ditambah dengan desiran angin yang menderu, ombak menghempas pantai serta lambaian daun kelapa, ia pasti percutian menenangkan jiwa.
Justeru, jika mencari kedamaian ketika berkunjung ke Kedah, Pantai Merdeka antara destinasi santai menyeronokkan.
Terletak 40 kilometer dari bandar Sungai Petani, Pantai Merdeka mengalami pelbagai proses transformasi sejak 10 tahun lalu.
Persekitaran yang bersih lengkap dengan kemudahan awam, menarik minat pengunjung terutama warga utara Semenanjung.
Ia menjadi destinasi pilihan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah, pertubuhan serta masyarakat sekitarnya untuk menjalankan pelbagai aktiviti menarik seperti perkhemahan, kursus dan juga hari keluarga.
Jika berminat bermalam, pengunjung boleh memilih resort dan calet yang menyediakan penginapan dan kemudahan bagi sebarang aktiviti di pantai ini.
Selain itu, rumah inap desa bercirikan tradisional dan moden yang diusahakan penduduk setempat sedia menanti pengunjung.
Kehadiran petugas dari Pertahanan Awam menjamin keselamatan pengunjung yang asyik bermandi manda apatah lagi menjadi tanggungjawab mereka peka dengan keadaan sekeliling.
Kaki pancing pasti tidak mahu melepaskan peluang mencuba memasang umpan di sekitar pantai ini. Umpan seperti umpun-umpun mudah dibeli di sepanjang jalan ke pantai.
Spesies ikan gelama, sembilang dan duri, antara yang sering menjadi buruan kaki pancing.
Kebiasaannya, aktiviti memancing dilakukan pada lewat malam malah ia menjadi lebih meriah setiap malam minggu.
Tidak sukar mendapatkan makanan di sini kerana pelbagai gerai tersedia dengan juadah makanan ringan seperti keropok lekor, goreng pisang, air baru campur dan laksa.
Untuk menikmati mi udang yang lazat, pengunjung boleh ke Pulau Sayak yang terletak tidak jauh dari Pantai Merdeka.
Sambil menikmati keenakan makanan, pengunjung menjamu mata dengan panorama bandaraya Pulau Pinang atau Tanjung Dawai di seberang.
Selain perkhidmatan bot penambang yang sering digunakan penduduk pantai, kemudahan jalan raya membolehkan pelancong mengunjungi pantai ini dengan selesa.
Pengangkutan awam juga dipertingkatkan apabila beberapa bas disediakan dari bandar Sungai Petani ke Pantai Merdeka.
(Harian Metro 20/6/2012)
No comments:
Post a Comment