Tuesday, October 23, 2012

Inilah artikel pencetus segala-galanya, " PANAROMA AIR BUKIT WANG "

PENDUDUK di utara Semenanjung Malaysia mempunyai pelbagai pilihan beriadah hujung minggu sama ada taman tema air di Sungai Petani, pusat beli-belah di Padang Besar atau berkelah di Pantai Merdeka.
Bagi warga sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu, Kedah, Rimba Rekreasi Bukit Wang menjadi pilihan berkelah di hujung minggu. Biarpun berhampiran Alor Setar dan Jitra, ia mempunyai keunikan serta keindahan kerana terletak dalam Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin di daerah Kubang Pasu.

Wang dalam bahasa Thai bermaksud lembah yang dikelilingi bukit bukau. Kawasan itu dikelilingi Bukit Hangus, Bukit Besar, Bukit Buluh dan Bukit Tunggal Besar.
Aliran air yang jernih dan dingin dari Sungai Tosak yang merentangi taman yang berbatu itu membentuk panorama air terjun untuk mandi-manda. Jika meminati aktiviti lasak, Bukit Wang menyediakan denai hutan untuk pelawat meneroka khazanah alam.

Anda boleh melalui trek sepanjang tiga kilometer (km) yang mengelilingi taman itu atau trek sejauh 13km yang membawa anda merentasi hutan sehingga bertemu Hutan Lipur Puncak Janing di daerah Padang Terap. Di samping itu, pengunjung juga boleh menguji ketahanan fizikal dan mental dengan mendaki 351 anak tangga Permatang Seraya yang terbentuk jutaan tahun dulu sambil ditemani siulan unggas rimba. Ini pasti pengalaman tidak boleh dilupakan terutama bagi pelawat yang pertama kali menjejakkan kaki di Bukit Wang. Jika terasa lenguh, anda boleh menggunakan laluan pejalan kaki ala urutan refleksologi.


Pada tahun 1930-an sehingga 1980-an, Bukit Wang membekalkan air bersih kepada penduduk sekitar. Ini dapat dilihat pada sistem paip lama buatan England yang masih utuh di sini. Pelawat juga berpeluang mengenali pokok herba seperti tongkat ali dan kacip fatimah yang tumbuh segar di sekitar taman serta pokok balak. Rimba Rekreasi Bukit Wang juga turut menjadi pilihan sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan belia bagi mengadakan aktiviti luar seperti berkhemah dan jelajah hutan.
Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menyediakan prasarana untuk berkhemah, surau, gazebo dan dewan serba guna selain tempat meletak kenderaan.

Anda juga boleh menggunakan chalet untuk merasai suasana malam di hutan rimba dan tempahan boleh dibuat kepada Pegawai Hutan Daerah Kupang Pasu. Deretan gerai menjual pelbagai makanan ringan termasuk laksa dan rojak memberi peluang anda menjamu selera.
>INFO
Bagaimana ke sini:
- Anda boleh menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dan susur keluar di Jitra Utara (Exit 182). Kemudian, belok ke arah Malau dan Kuala Nerang dan memandu terus ke lokasi peranginan ini.
- Jika datang sekitar Julai atau Disember, pelawat berpeluang menikmati durian yang dijual di tepi jalan selain rambutan dan manggis dengan harga berpatutan.
- Rimba Rekreasi Bukit Wang hanya kira-kira 40km dari Alor Setar dan 12km dari pekan Jitra.

( Harian Metro  12/2/11)

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati