Wednesday, October 24, 2012

Jom Cari Belacan Tanjung Dawai

TANJUNG Dawai, antara destinasi percutian popular di Kedah. Tidak hairanlah, ia menjadi pilihan Kumpulan Tropika untuk mengabadikan tempat itu dalam lagu Cinta Pantai Merdeka.
Tanjung Dawai hanyalah perkampungan nelayan yang majoriti penduduknya nelayan dan petani.

Namun, apabila perusahaan berasaskan hasil laut semakin dikenali, pelbagai prasarana dan kemudahan awam mula dibina kerajaan.

Malah, Majlis Perbandaran Sungai Petani membina arked perniagaan bagi kemudahan peniaga dan pelancong.

Pelancong gemar membeli hasil laut seperti belacan, keropok ikan, ikan bilis dan ikan masin kerana harganya memang murah.

Makanan tradisi yang menjadi pilihan di sini ialah ‘gedo­ngcak’, makanan seperti pulut udang, tetapi menggunakan tepung pulut.

Peningkatan pelancong me­nyebabkan restoran ikan bakar tumbuh macam cendawan di sepanjang jalan ke pekan Tanjung Dawai.

Suasana lebih meriah menjelang senja apabila restoran ikan bakar dan makanan laut memasang lampu berwarna- warni, seolah-olah pesta.

Jika berminat memancing, anda boleh menghabiskan malam dengan memancing. Antara ikan yang boleh dipancing di sini ialah gelama, sembilang dan ikan duri. Penginapan tiada masalah kerana banyak chalet disediakan atau anda boleh mencuba kelainan dengan menginap di Resort Chalet Terapung milik Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok.

Justeru, jika berkunjung ke Sungai Petani atau Yan, jangan lepaskan peluang singgah di Tanjung Dawai kerana pelbagai pilihan menanti pelancong terutama ole-ole untuk dibawa pulang.



>>Bagaimana ke sini

Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan, keluar melalui tol Sungai Petani Selatan, menghala ke Bandar Laguna Merbok. Tanjung Dawai kira-kira 30 kilometer daripada plaza tol.

Sepanjang perjalanan, pengunjung akan melewati beberapa institusi pengajian tinggi seperti AIMST University dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Merbok. Sepanjang jalan, banyak gerai menjual nira nipah untuk menghilangkan dahaga.

Dari Alor Setar, anda boleh melalui daerah Yan.

Terdapat juga perkhidmatan bas dari Sungai Petani dan Alor Setar bagi memudahkan orang ramai datang ke pekan ini.

Jika berkelah di Pantai Merdeka, anda boleh mengambil bot dengan bayaran RM2 menyeberang ke Tanjung Dawai yang perjalanannya kira-kira 20 minit.

(Harian Metro 5/5/11)

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati