Saturday, October 27, 2012

Sejarah Pejuang Negara di Muzium Tentera, Port Dickson

MUZIUM Tentera Darat antara destinasi yang boleh anda lawati jika berkunjung ke Port Dickson.
Dirasmikan pada 28 Jun 2005, muzium itu strategik lokasinya kerana di situlah lahirnya pejuang negara, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi.

Muzium ini menghimpunkan pelbagai Khazanah mengenai pertahanan negara dan barangan tentera yang pernah digunakan untuk mempertahankan tanah air seperti senjata api, peralatan telekomunikasi, kenderaan dan pakaian.

Ia turut mempamerkan sejarah perjuangan mempertahankan negara bermula dari era Kesultanan Melayu Melaka, penentangan penjajah oleh pahlawan-pahlawan seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan Mat Saleh hingga perjuangan mendapatkan kemerdekaan.

Muzium ini turut mempamerkan bahan-bahan berkaitan pendudukan Jepun dan keganasan Parti Komunis Malaya.

Antara artifak yang menarik di sini ialah replika kapal era Kesultanan Melaka dan tengkorak gajah yang digunakan komunis sebagai peti surat.

Pengunjung berpeluang memasuki terowong yang dibina sama dengan yang sebenar seperti digunakan pengganas komunis.

Di bahagian luar, pengunjung melihat deretan kenderaan yang pernah digunakan dalam pertempuran termasuk motorsikal klasik dan kapal terbang pengangkut jenis Corribaou.

Masuk ke Muzium Tentera Darat Malaysia ini adalah percuma dan ia ditutup pada hari Isnin dan Selasa.

Bagaimanapun, untuk cuti sekolah, muzium ini dibuka setiap hari bermula dari jam 10 pagi sehingga 5 petang.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/18

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati