Saturday, December 1, 2012

Tawan Pulau-pulau di Kedah

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

KELAB Kenu Universiti Utara Malaysia (UUM) melaksanakan pelbagai program bagi membentuk komitmen dan jati diri mahasiswa berdepan cabaran.
Terbaru, kelab itu menganjurkan ekspedisi menakluki empat pulau di perairan Yan, Kedah bagi menguji dan mencabar kemampuan emosi juga fizikal 50 peserta.

Pengarah projek, Nor Aisah Musa, berkata ekspedisi itu bukan saja mencabar malah memberi pengalaman baru kepada peserta mengukuhkan keyakinan serta kemampuan diri berdepan situasi getir.

“Menerusinya, mereka bukan sekadar ‘berperang’ dengan keletihan fizikal malah perlu menguatkan emosi supaya tidak mudah tunduk pada tekanan.

“Program ini memberi suntikan dan kekuatan kepada peserta selain mempersiapkan mereka dengan minda kuat serta positif,” katanya.

Selama empat hari, mereka berkayak mengelilingi beberapa pulau selain melakukan pelbagai aktiviti menarik yang menguji minda, memasak dan membersihkan pantai.

Penasihat Kelab Kenu UUM, Mejar (B) Kamaludin Chin, yakin aktiviti lasak itu mampu menjadikan graduan lebih bersedia.

“UUM bukan saja menekankan aspek akademik malah kemahiran lain turut diberi keutamaan kerana kita mahu melahirkan graduan serba boleh.

“Melalui aktiviti ini, mereka bukan saja terdedah kepada cabaran malah membentuk pengalaman baru sebagai sebuah komuniti,” katanya.

Peserta, Rafidah Rahmat, berkata dia cukup teruja menyertai program itu biarpun dilanda perasaan gusar kerana kali pertama menyertainya.

“Biarpun terlalu penat mengharungi cabaran saya seronok dan pengalaman ini mampu menjadikan saya lebih optimis pada masa depan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/25

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati