Pelbagai tempat terkenal yang biasa dilawati antaranya Candi Batu Pahat di Lembah Bujang, Kota Kuala Kedah dan Masjid Zahir di Alor Setar.
Bertempat di Sedim dalam daerah Kulim, sebuah rumah kayu yang kaya dengan seni bina Melayu serta mempunyai latar belakang sejarah sewajarnya dikongsi bersama.
PERSEKITARAN yang bersih, malah rumah terbabit masih kelihatan utuh.
Ditambah lagi dengan pembinaan ‘Tree Top Walk’ iaitu titian sepanjang 950 meter antara yang terpanjang di dunia berjaya melonjakkan nama Sedim dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.
Di samping popular sebagai kawasan rekreasi, kewujudan rumah lama itu memberi nilai tambahan kepada Sedim.
Sejarah rumah ini bermula pada Disember 1941 apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang ketika itu menjawat jawatan Pegawai Daerah Kulim memilih kediaman itu sebagai tempat bersemayam Sultan Kedah Almarhum Tuanku Abdul Hamid untuk berlindung ketika meletus Perang Dunia Kedua.
Turut bersama baginda ialah Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang ketika itu berusia 14 tahun.
Rombongan Diraja ini disambut meriah penduduk setempat dan memberikan kawalan keselamatan secukupnya kepada baginda.
Lebih bermakna, tanggal 12 Januari 1962, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Kampung Sedim sebagai Kampung Lindungan Raja dan rumah yang asalnya milik Penghulu Mukim Sedim ketika itu dikenali sebagai Rumah Lindungan Raja.
Malah, lokasi air terjun tempat baginda bersiram turut digelar Jeram Raja dan masih wujud sehingga hari ini.
Penghulu Mukim Sedim Zulkifli Omar berkata, rumah itu mengalami beberapa pembaikan dan pengindahan.
“Sebelum ini, Lembaga Muzium Kedah memberi perhatian dan bertanggungjawab menguruskan rumah ini.
“Namun, atas sebab-sebab tertentu, tanggungjawab itu diserahkan kepada masyarakat tempatan dan mendapat peruntukan Yayasan Sultanah Bahiyah,” katanya.
Meskipun sejarah mengenainya sudah lama berlalu, pengunjung masih berpeluang untuk menghayati dan menghargai kepentingan dan ukiran seni di rumah itu seperti katil antik, gambar dan artikel.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/20 0 0 Google +0 0 0
No comments:
Post a Comment