Sunday, October 28, 2012

Naik Bot di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh



BAGI pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) yang melewati bandaraya Ipoh, Perak pasti terpandang papan tanda atas puncak bukit yang tertulis ‘Taman Rekreasi Gunung Lang’ di sebelah kiri menghala ke utara.
Ramai pasti tertanya-tanya apakah yang menarik di situ. Justeru, bagi yang berkesempatan, eloklah memandu ke susur keluar di Ipoh dan meneroka taman berkenaan yang terletak tidak jauh dari Plaza Tol Jelapang.

Persinggahan ke taman rekreasi di Jalan Kuala Kangsar itu pasti akan meninggalkan kenangan manis buat pengunjung.

Berlatar belakangkan bukit batu kapur yang menarik dan tasik buatan terbentang luas, ia menjadi semakin terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negeri.

Taman ini mula dibangunkan pada 1999 oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Landskap Negara di tanah seluas 28 hektar.

Kini, taman ini dipenuhi pelbagai spesies pokok bunga yang kebanyakannya daripada jenis bougenvilla dan heliconia yang diimport khas dari
luar negara.

Pondok rehat dan menara peninjau turut dibina bagi kemudahan orang ramai.
Kanak-kanak juga pasti seronok ke sini kerana terdapat taman permainan yang luas tersedia.

Menariknya, untuk ke taman rekreasi ini, pelawat akan dibawa mengelilingi tasik dengan bot yang disediakan MBI.

Ikan keli, tilapia dan lampam yang bersaiz besar banyak terdapat di jeti bot.
Lazimya, pengunjung akan membeli makanan ikan yang disediakan.

Ini menyebabkan ikan berkenaan berkerumun di tepi jeti dan tidak takut kepada manusia.

Selepas mengelilingi tasik dengan menaiki bot dan tiba ke taman di seberang, pengunjung diberi peluang bersiar-siar di taman itu sepuas hati.

Jika sudah selesai, hubungi pemandunya dan bot akan sampai secepat mungkin untuk membawa anda pulang.

Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh ini semakin mendapat perhatian apabila haiwan seperti rusa dan burung unta turut dipelihara.

Sekiranya taman ini dijadikan zoo mini, ia pasti lebih menarik untuk tatapan pelancong.

Tiada bayaran masuk dikenakan kepada orang ramai, cuma pengunjung perlu membayar tiket menaiki bot sebanyai RM3 bagi dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak.

Lantaran itu, sekiranya anda berada di Ipoh, jangan lepaskan peluang melawat taman ini.

Bagi pengguna lebuh raya yang tidak tergesa-gesa untuk ke destinasi dituju, Taman Rekreasi Gunung Lang boleh dijadikan satu hentian untuk melepaskan penat dan lelah selepas berjam-jam memandu.

Saturday, October 27, 2012

Ada Sesiapa Hendak Ke Ho Chi Minh?

HO Chi Minh, Vietnam antara destinasi pelancongan di Asia Tenggara yang popular di kalangan rakyat Malaysia.
Di sini anda berpeluang menyusuri Sungai Mekong dan meneroka terowong di Chu Chi yang sarat dengan perjuangan rakyat negara itu berperang dengan Amerika Syarikat.

Vietnam juga dikatakan tempat menarik untuk aktiviti membeli-belah kerana harganya murah manakala kualitinya tinggi.

Namun, bagi pelancong ber�agama Islam, mencari makanan halal adalah cabaran utama di kota Saigon.

Bagi yang datang berkumpulan atau menggunakan pakej, mungkin tiada masalah, tetapi ia berlaku jika melancong bersendirian.

Penulis menghadapi masalah itu ketika berkunjung ke kota Saigon, baru-baru ini.
Namun, penulis menggunakan kaedah mudah untuk mendapatkan makanan halal iaitu mencari lokasi masjid.

Jika menemui masjid, pasti ada komuniti Islam dan restoran menjual makanan halal.

Petua ini amat berguna di Ho Chi Minh. Masjid Du Dong yang terletak di tengah kota dan bersebelahan Hotel Sheraton mempunyai beberapa restoran makanan halal.

Antara yang terkenal ialah Restoran Halal @Saigon yang dimiliki seorang doktor rakyat Malaysia dan sering menjadi tumpuan pelancong Islam.

Dekorasinya yang eksklusif berwarna merah hitam me�nyajikan hidangan tradisional Vietnam seperti popia Vietnam dan Crispy Fried Noodle.

Malah, pelayannya boleh menutur bahasa Melayu dan pemiliknya cukup mesra de�ngan pelancong.

Jika gemar masakan ala India, kunjungi Restoran Bombay yang terletak tidak jauh dari Halal Saigon.

Selain itu, ada beberapa kedai makan di belakang masjid yang diusahakan penduduk beragama Islam.

Bagi penggemar teh tarik dan nasi campur, anda boleh menikmati hidangan itu di Plaza Parkson Le Thanh Ton Road.

Antara kiosk terkenal di situ ialah D’Anjung Malaysia yang menyediakan hidangan nasi putih dan pelbagai lauk pauk cita rasa Malaysia.

Pemilknya juga seorang rakyat Malaysia yang lama menetap di Vietnam.

Kesukaran mendapatkan bahan mentah halal seperti ayam dan daging, menyebabkan harga makanan agak mahal.

Di medan selera Plaza Pakson juga, ada beberapa restoran India dan Arab, antaranya Restoran Taj Mahal.

Di sini ada dijual nasi beriani, ayam tandori dan capati.

Kedai Makan Shamsudin juga antara tempat makanan popular di sini yang memiliki beberapa cawangan sekitar Ho Chi Minh termasuk berhampiran terowong Chu Chi.

Ada banyak lagi restoran makanan halal di Saigon seperti VN Halal, Four Season dan Satay House Malaysia.

Penjaja jalan banyak terdapat di sekitar Saigon yang menjual pisang bakar dan air kelapa terutama sekitar Pasar Benh Tanh.

Vietnam juga terkenal dengan kopinya yang harum dan ber�aroma kerana penyediaan dan hidangannya yang unik menjadi satu tarikan.

Sebekas berisi biji kopi akan diletak atas cawan dan dituang air panas ke dalamnya sehingga biji kopi itu larut dan mengalir masuk ke dalam cawan.

Jika mahu membeli kopi untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh, berhati-hati bagi mengelak ditipu kerana ada beberapa kes bekas kopi yang ditimbang diletak bersama-sama bungkusan kepingan daging kering yang haram untuk umat Islam.
Pastikan peniaga tidak menggunakan penyedok yang sama untuk menimbang kopi yang dibeli.

Kota Saigon memang menarik untuk dilawati, tetapi bagi pelancong Muslim, pastikan ada membuat sedikit rujukan bagi mengelak kesukaran mendapatkan makanan halal.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05

Sejarah Pejuang Negara di Muzium Tentera, Port Dickson

MUZIUM Tentera Darat antara destinasi yang boleh anda lawati jika berkunjung ke Port Dickson.
Dirasmikan pada 28 Jun 2005, muzium itu strategik lokasinya kerana di situlah lahirnya pejuang negara, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi.

Muzium ini menghimpunkan pelbagai Khazanah mengenai pertahanan negara dan barangan tentera yang pernah digunakan untuk mempertahankan tanah air seperti senjata api, peralatan telekomunikasi, kenderaan dan pakaian.

Ia turut mempamerkan sejarah perjuangan mempertahankan negara bermula dari era Kesultanan Melayu Melaka, penentangan penjajah oleh pahlawan-pahlawan seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan Mat Saleh hingga perjuangan mendapatkan kemerdekaan.

Muzium ini turut mempamerkan bahan-bahan berkaitan pendudukan Jepun dan keganasan Parti Komunis Malaya.

Antara artifak yang menarik di sini ialah replika kapal era Kesultanan Melaka dan tengkorak gajah yang digunakan komunis sebagai peti surat.

Pengunjung berpeluang memasuki terowong yang dibina sama dengan yang sebenar seperti digunakan pengganas komunis.

Di bahagian luar, pengunjung melihat deretan kenderaan yang pernah digunakan dalam pertempuran termasuk motorsikal klasik dan kapal terbang pengangkut jenis Corribaou.

Masuk ke Muzium Tentera Darat Malaysia ini adalah percuma dan ia ditutup pada hari Isnin dan Selasa.

Bagaimanapun, untuk cuti sekolah, muzium ini dibuka setiap hari bermula dari jam 10 pagi sehingga 5 petang.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/18

Jom Mandi di Lata Bayu, Baling

MEMANFAATKAN cuti hujung minggu bersama keluarga mandi-manda di lokasi air terjun yang dikelilingi keindahan alam semula jadi adalah saat cukup menggembirakan.
Selain mengerat hubungan kekeluargaan, ia memberi ketenangan dan kedamaian dengan pemandangan yang menghijau serta jauh dari kesibukan kota.

Justeru, jika mencari destina­si menarik, Hutan Lipur Lata Batu, Baling, Kedah adalah tempatnya.

Kesejukan air terjun dengan keindahan alam semula jadi, memang mendamaikan.

Terletak di Hutan Simpan Rimbah Teloi, Lata Bayu juga dikenali Lata Asam Jawa oleh penduduk setempat.

Lebih menarik aliran air terjun yang jernih dari Sungai Pegang ini menambahkan lagi panorama menarik.

Air terjun setinggi 20 meter adalah tarikan utama dan ia membentuk beberapa kolam semula jadi untuk mandi-­manda dan paling terkenal ialah Lubuk Lesong.

Kawasan ini diselenggaran Jabatan Hutan Negeri Kedah dengan menyediakan beberapa kemudahan termasuk wakaf, bilik persalinan dan tandas.

Gerai menjual makanan dan minuman turut disediakan dan diusahakan penduduk tempatan.

Jika mahu mengeluarkan peluh, anda boleh mendaki Bukit Tok Bidan dengan memanjat anak tangga sejauh lima kilometer sehingga puncaknya.

Jika mahu mengadakan program seperti perkhemahan, anda boleh berbuat demikian di kawasan pentas terbuka tetapi perlu mendapat kebenaran Pejabat Hutan Kedah Selatan.



Bagaimana ke sana

Hutan Lipur Lata Bayu terletak 30 kilometer (km) dari Pekan Baling. Jika menggunakan pengangkutan sendiri atau pengangkutan awam seperti bas atau teksi dari Pekan Baling.

Dari Alor Setar, anda boleh menggunakan jalan Gurun - Jeniang dan membelok ke Kampung Parit Panjang, Baling sejauh 90 kilometer.

(Harian Metro 20/10/11)

Belajar Sejarah Di Muzium Kota Kayang, Kangar

MUSIM cuti sekolah kembali lagi. Pastinya pelbagai perancangan dan aktiviti direncanakan ibu bapa untuk dimanfaatkan sepenuhnya.
Perlis Indera Kayangan antara destinasi menarik untuk percutian bersama anak-anak khususnya melawat Muzium Kota Kayang.

Terletak hanya lima kilometer dari Kangar dan tujuh kilometer dari Pekan Kuala Perlis, muzium itu menyimpan pelbagai khazanah dan sejarah mengenai kewujudan Perlis itu sendiri dari zaman pra sejarah hingga ke hari ini.

Muzium berkenaan dibina atas tapak kota purba yang dikenali Kota Indera Kayangan iaitu pusat pemerintahan Kesultanan Kedah ketika Perlis masih di bawah pentadbirannya pada 1664.

Pelbagai artifak purba yang ditemui sekitar runtuhan kota dan Perlis dari zaman gua batu (Hoabihian) hingga ke zaman Neolitik dipamerkan.

Artifak lebih 3000 tahun lalu seperti serpihan seramik, tembikar dan senjata dapat dilihat menerusi Galeri Arkeologi muzium itu.

Sementara di Galeri Sejarah pula, pengunjung dapat menyelusuri kronologi pembinaan Kota Kayang dan menghayati kehidupan golongan bangsawan serta diraja Perlis.

Tidak ketinggalan Galeri Diraja yang menceritakan susur galur salasilah keluarga diraja Perlis bermula dari Rasulullah dan replika bunga emas yang pernah menjadi ufti ke Siam satu ketika dulu.

Pengunjung juga dapat melihat pelbagai jenis senjata yang digunakan pahlawan Melayu di Galeri Senjata, seperti tek pi, pedang dan keris.

Kompleks muzium itu bukan saja lokasi untuk pameran bahan bersejarah malah ia turut mempunyai sebuah taman rekreasi unik terletak di bahagian belakang muzium.

Berlatarkan dinding bukit batu kapur dan pokok-pokok bonsai dari jenis kesinai, taman ini pernah menjuarai pertandingan landskap peringkat negeri dan mewakili Perlis ke peringkat Kebangsaan.

Telaga yang pernah digunakan keluarga diraja juga ada di sini. Ia dikatakan tidak pernah kering walaupun musim kemarau.

Bagi yang berkesempatan ke sini, selepas melawat muzium dan bersantai di taman landskap yang menarik, luangkan masa menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan.

Dikenali Makam Almarhum Kayang Pertama, ia adalah tempat persemadian Almarhum Sultan Kedah ke 15 yang memerintah Perlis.

Puas melihat sendiri tinggalan sejarah yang cukup bermakna itu, menjelajah di Gua Kayang yang berhampiran makam menambahkan keseronokan berada di situ.

Gua sejauh 50 meter ini adalah laluan pengawal istana zaman dulu untuk naik ke puncak bukit bagi tujuan berkawal di pondok-pondok kawalan.

Muzium Kota Kayang yang ditadbir Jabatan Muzium Negara itu dibuka setiap hari kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha saja selain masuk adalah percuma.

Ia boleh dikatakan pusat sumber yang lengkap untuk mengkaji mengenai perkembangan negeri Perlis Indera Kayangan.

Sekiranya ada yang tertanya-tanya alasan pemerintah Perlis menggunakan gelaran Raja, bukannya Sultan seperti pemerintah lain, muzium itu ada jawapannya.

Jadi, penuhilah masa berharga anak-anak kita dengan berkunjung ke tempat-tempat yang bermanfaat dan cuti mereka tidak berlalu sia-sia.

(Harian Metro 8/12/11)

Kenali Luar Di Taman Ular Perlis

BERKUNJUNG ke Perlis tidak lengkap tanpa me�ngunjungi Taman Ular dan Reptilia Negeri Perlis yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kangar.
Sejarah bermula pada 1978 apabila Kementerian Kesihatan membangunkan sebuah pusat penyelidikan bagi menghasilkan penawar bisa ular.

Pada 1995, ia diambil alih Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis dan dikomersial�kan sebagai tarikan pelancongan.

Terdapat lebih 200 ular dari 54 spesies dalam dan luar negara di sini, antaranya jarang ditemui seperti ular orok-orok, ular rusuk kerbau dan ular katam payung.

Di sini juga terdapat haiwan lain seperti biawak air, iguana, dan kura-kura selain buaya tembaga dan burung unta yang menjadi tarikan pengunjung.

Taman ini sering menjadi tempat bagi mengadakan pertunjukan ular antarabangsa termasuk ular tedung dan ular sawa.

Taman yang dikelilingi bukit batu kapur dan Hutan Simpan Bukit Bintang ini bukan saja memberi banyak manfaat ilmu berkaitan ular tetapi alam semula jadi.

Selepas mengunjungi taman ular ini, anda boleh bersantai atau mandi manda di air terjun Sungai Batu Pahat yang terletak berhadapan taman itu.

Taman yang terbesar di Asia Tenggara dan diiktiraf dalam buku Malaysia Book of Records ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Tiket RM 4 dikenakan �kepada orang dewasa manakala kanak-kanak dikenakan RM1.

Di samping taman ular, pelawat berpeluang melawat ladang anggur, ladang herba dan pusat pembiakan lebah yang terletak berdekatan antara satu sama lain.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/02

Cinta Pantai Merdeka

ALANGKAH seronoknya jika dapat menikmati percutian walaupun dalam waktu yang singkat.
Ditambah dengan desiran angin yang menderu, ombak menghempas pantai serta lambaian daun kelapa, ia pasti percutian menenangkan jiwa.

Justeru, jika mencari kedamaian ketika berkunjung ke Kedah, Pantai Merdeka antara destinasi santai menyeronokkan.

Terletak 40 kilometer dari bandar Sungai Petani, Pantai Merdeka mengalami pelbagai proses transformasi sejak 10 tahun lalu.

Persekitaran yang bersih lengkap dengan kemudahan awam, menarik minat pengunjung terutama warga utara Semenanjung.

Ia menjadi destinasi pilihan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah, pertubuhan serta masyarakat sekitarnya untuk menjalankan pelbagai aktiviti menarik seperti perkhemahan, kursus dan juga hari keluarga.

Jika berminat bermalam, pengunjung boleh memilih resort dan calet yang menyediakan penginapan dan kemudahan bagi sebarang aktiviti di pantai ini.

Selain itu, rumah inap desa bercirikan tradisional dan moden yang diusahakan penduduk setempat sedia menanti pengunjung.

Kehadiran petugas dari Pertahanan Awam menjamin keselamatan pengunjung yang asyik bermandi manda apatah lagi menjadi tanggungjawab mereka peka dengan keadaan sekeliling.

Kaki pancing pasti tidak mahu melepaskan peluang mencuba memasang umpan di sekitar pantai ini. Umpan seperti umpun-umpun mudah dibeli di sepanjang jalan ke pantai.

Spesies ikan gelama, sembilang dan duri, antara yang sering menjadi buruan kaki pancing.

Kebiasaannya, aktiviti memancing dilakukan pada lewat malam malah ia menjadi lebih meriah setiap malam minggu.

Tidak sukar mendapatkan makanan di sini kerana pelbagai gerai tersedia dengan juadah makanan ringan seperti keropok lekor, goreng pisang, air baru campur dan laksa.

Untuk menikmati mi udang yang lazat, pengunjung boleh ke Pulau Sayak yang terletak tidak jauh dari Pantai Merdeka.

Sambil menikmati keenakan makanan, pengunjung menjamu mata dengan panorama bandaraya Pulau Pinang atau Tanjung Dawai di seberang.

Selain perkhidmatan bot penambang yang sering digunakan penduduk pantai, kemudahan jalan raya membolehkan pelancong mengunjungi pantai ini dengan selesa.

Pengangkutan awam juga dipertingkatkan apabila beberapa bas disediakan dari bandar Sungai Petani ke Pantai Merdeka.

(Harian Metro 20/6/2012)

Wednesday, October 24, 2012

Muzium Kota Kuala Kedah Punya Keunikan Sendiri

KEDAH mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi sama ada di musim cuti atau hujung minggu.
Namun, kurang pendedahan dan publisiti, destinasi pelancongan yang ada ini kurang diketahui ramai termasuk penduduk tempatan.

Di Kuala Kedah misalnya, terdapat muzium yang didirikan Jabatan Muzium di tapak asal runtuhan sebuah kota yang amat terkenal dalam sejarah negeri Kedah pada abad ke-17.

Namun, kewujudannya kurang disedari kebanyakan orang.

Muzium Kota Kuala Kedah dibangunkan kerajaan pada November 2000 selepas diwartakan ‘Tapak Tanah Bersejarah’ pada 31 Ogos 1978.

Usaha pihak kerajaan memulihara tinggalan sejarah ini amat tepat kerana kota ini salah satu tinggalan kerajaan tua di Tanah Melayu.

Kota yang digelar Kota Kuala Bahang ini dibina semula pada tahun 1771 di bawah pemerintahan Sultan Mukarram Syah, Sultan Kedah ke-20 selepas dimusnahkan armada Bugis pada 1770 dan siap pada 1780.

Ia dibina menggunakan tenaga mahir yang dibawa khas dari India. Selepas itu, ia mengalami pelbagai liku kejadian dan sejarah.

Kota ini pernah diserang kerajaan Bugis, Acheh dan Siam.

Ketika pemerintahan British, beberapa pejabat kerajaan dan rumah api dibina di sini. Dan, apabila Jepun menakluki Tanah Melayu, mereka menjadikan kawasan ini markas tentera.

Kompleks ini terdiri daripada sebuah bangunan kayu yang menempatkan pelbagai artifak bersejarah dan dikelilingi tembok-tembok asal kota yang dibaik pulih termasuk beberapa laras meriam yang masih sempurna bentuknya.

Pihak muzium juga membangunkan kembali pintu gerbang yang dikenali sebagai Pintu Gerbang Kancapuri yang runtuh pada tahun 1970 dan pintu kota yang masih utuh sehingga kini.

Antara bahan yang dipamerkan di sini adalah pedang asal tentera Jepun, barangan seramik yang ditemui ketika usaha cari gali dilakukan dan mata wang yang pernah digunakan selain maklumat berkaitan Kota Kuala Kedah.

Persekitaran muzium yang indah sering menjadi pilihan jurugambar mengabdikan hasil seni mereka termasuk sesi fotografi bersama pengantin.

Malah, tebing Kuala Kedah yang bersebelahan dengan tembok kota adalah destinasi yang popular bagi kaki pancing.

Jika menggunakan feri dari Langkawi, kita dapat melihat kota ini yang tersergam di sebelah kiri pintu kuala selepas bangunan Marina Kuala Kedah yang menempatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Muzium ini dibuka dari hari Sabtu sehingga Khamis dan masuk adalah percuma.
Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro: 2012/10/25



Suatu ketika dahulu

Tahun 2004 sudah mula menulis ( REMAJA 15 Mac 2004 )

Sesekali ke Luar Negara

Tersiar dalam Majalah Roda-roda Februari 2010



Berkelah Di Tengah Malam di Ulu Legong, Baling

JAM melewati 12 tengah malam. Namun, semakin banyak kenderaan menuju ke sini. Kereta, motosikal dan bas rombongan bergerak perlahan-lahan mencari tempat meletak kenderaan.
Gerai-gerai makanan juga meriah dengan pelanggan. Ada yang berkumpulan dan ada datang bersama keluarga.

Begitulah meriah suasana di tengah malam hari minggu dan cuti umum di Pusat
Rekreasi Air Panas di Ulu Legong, Baling, Kedah Darul Aman.

Biarpun jauh di pedalaman, pusat pelancongan ini amat popular terutama bagi warga utara. Selain dengan tujuan berlibur dan bersantai, ada datang bagi tujuan perubatan.

Biarpun tiada bukti secara saintifik, ada yang mendakwa dengan merendam kaki dalam kolam air panas itu, ia dapat melancarkan peredaran darah dan membantu memulihkan penyakit berkaitan saraf dan lumut yang terlekat di dinding kolam amat mujarab untuk penyakit kulit.

Sehinggakan ada yang sanggup datang dari Johor untuk menguji kemujaraban keajaiban alam ini.

Majlis Daerah Baling (MDB) yang bertanggungjawab menguruskan tempat ini menyediakan kemudahan yang lengkap seperti pondok rehat, tandas, kedai, dan surau bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

Malah, kolam besar dan bertingkat dibina bagi menakung air yang keluar dari kolam utama untuk memberi keselesaan kepada pengunjung untuk bersantai, termasuk kolam khas untuk kanak-kanak.

Pengunjung dilarang masuk ke kolam utama kerana suhunya yang panas dan
tidak sesuai untuk tubuh badan manusia.

Dari dasarnya dapat dilihat air yang menggelegak dan asap yang berkabus memenuhi segenap ruang angkasanya.

Pihak MDB juga dalam proses meluaskan kawasan­ perkelahan ini dengan menambah kolam dan chalet dan dijangka siap sepenuhnya Julai ini.

Lebih menarik, kolam ala jakuzi juga bakal menjadi tarikan baru di sini.

Di samping berendam dan terapi dengan air panas, orang ramai juga dapat menikmati panaroma anak sungai berbatu yang merentangi pusat ini.

Di sini turut disediakan kemudahan urutan reflekso­logi bagi mereka yang keletihan berendam dalam kolam dan pengunjung berpeluang menikmati ais krim buatan sendiri yang ada dijual di sini.

Pusat Rekreasi Air Panas ini semakin menjadi pilihan agensi kerajaan, sekolah dan IPT untuk mengadakan kursus, seminar dan juga program.

Ia mempunyai kemudahan yang lengkap dan sesuai untuk tujuan tersebut seperti dewan ceramah, kafeteria dan kemudahan penginapan setaraf hotel.

Terdapat enam unit chalet biasa, dua unit chalet VIP dan beberapa unit dormitary untuk peserta dan pengunjung yang ingin menginap.

Bagi yang ingin bermalam, bolehlah berurusan dengan pihak MDB.

Selain itu, penginapan secara homestay yang diusahakan penduduk sekitar turut memberi nilai tambah pada pusat ini.

Kawasan rekreasi yang terletak 20 kilometer dari pekan Baling ini bukan saja terkenal dengan air panasnya, tetapi perkampungan Orang Asli yang satu-satunya wujud di Kedah.

Masa paling sesuai datang ke sini ialah waktu lewat malam kerana suasana menjadi semakin meriah dan hangat, sehangat air di kolam berkenaan.

Macam-macam Ada di Padang Besar

PADANG Besar memang destinasi popular di utara tanah air. Selain menjadi pintu masuk utama ke Thailand, ia juga syurga membeli-belah di kalangan rakyat Malaysia.
Produk dari Thailand menjadi jualan utama peniaga di sini, antaranya pakaian, aksesori wanita, kelengkapan perkahwinan dan perkakasan dapur di Medan Arked Peniaga.

Di pasar yang terletak bersebelahan arked pula, pengunjung boleh mendapatkan bahan-bahan mentah seperti beras pulut, buah-buahan dan makanan ringan seperti biji gajus dan jeruk.

Malah, pengunjung boleh tawar menawar harga barangan yang dihajati sehingga mendapat harga yang paling murah.

Tetapi, elak membeli barangan yang dilarang seperti mercun dan bunga api kerana anda mungkin dikenakan tindakan jika dirampas dalam sekatan Unit Pencegahan Penyeludupan berhampiran pekan Padang Besar.

Setelah penat membeli-belah, pelawat dapat pula menjamu selera di deretan kedai makan berhampiran. Kebanyakannya menyajikan menu popular Thai seperti tomyam, pulut ayam dan pulut mempelam.

Di samping arked dan pasar, kedai di sekitar pekan Padang Besar turut menjual pelbagai barangan dengan harga murah, malah kerajaan negeri Perlis membina banyak rumah kedai bagi menampung permintaan tinggi pelancong.

Dalam perjalanan ke Padang Besar, anda akan dapat melihat panorama indah sawah padi dan gunung-ganang selain Tasik Timah Tasoh dan ladang penternakan burung unta dan rusa.

Malah, di sepanjang jalan sebelum tiba di Padang Besar, ramai peniaga menjual tanaman bonsai.

Jika mahu melihat ladang tebu di Chuping, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan susur di Changlon.

Di sini, sebahagian hasil gula yang anda nikmati dihasilkan di ladang yang seluas mata memandang.

Selepas puas membeli-belah di Padang Besar, anda boleh mengunjungi Kangar yang jaraknya kira-kira 32 kilometer atau singgah sebentar di Kuala Perlis untuk menikmati laksa utara yang enak.

Jika mempunyai masa, anda boleh menaiki feri dari Kuala Perlis ke Langkawi untuk melihat keindahan pulau Mahsuri atau me�nyambung keseronokan membeli belah di pulau bebas cukai itu.

(Harian Metro 26/5/11)

Malam di Bandaraya Alor Setar

KEINDAHAN lampu yang bergemerlapan di bandar I-City, Shah Alam memang menjadi sebutan ramai. Deretan dan juraian lampu pelbagai warna dan bentuk menghiasi suasana malam di bandar itu.
Kepelbagaian warna cahaya yang ada di I-City menjadikannya sebagai destinasi yang wajib dikunjungi apabila berada di sekitar Shah Alam.

Menyedari konsep pencahayaan itu kian mendapat sambutan, pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengambil inisiatif mewujudkan suasana yang hampir sama di bandar raya Alor Setar seperti yang terdapat di I-City.

Idea asalnya ialah untuk menghidupkan suasana malam di Alor Setar sempena sambutan hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman yang ke-83.

Bagaimanapun, dengan sambutan yang cukup meng�galakkan daripada masyarakat setempat yang datang melawat medan untuk menikmati ke�indahan cahaya lampu berwarna-warni itu, ia kini menjadi tarikan baru di bandar raya itu.

Selain masyarakat tempatan, pelancong asing yang menginap di hotel berdekatan medan itu turut menghabiskan malam mereka dengan bersantai di medan bandar itu.

Kehadiran ramai pengunjung ke medan itu bukan saja memeriahkan suasana malam di situ tetapi juga memberi sumber rezeki kepada penjaja kecil yang menjual pelbagai permainan berlampu yang membangkitkan lagi suasana malam yang penuh cahaya ini.

Lokasinya juga amat strategik iaitu terletak di Medan Bandar yang berada di tengah pusat Bandaraya Alor Setar. Lebih menarik ia dikelilingi bangunan bersejarah seperti Balai Besar, Balai Seni, Balai Nobat, Menara Jam Besar dan Masjid Zahir serta Tugu Pengisytiharan bandar Alor Setar.

Kesergaman bangunan ini akan menjadikan lawatan ke sini lebih bermakna.
Tambahan pula bangunan itu termasuk dalam program ‘Royal Heritage Trail’ yang dianjurkan kerajaan negeri Kedah Darul Aman.

Malah, Medan Bandar tidak jauh dari Menara Alor Setar yang terkenal dengan restoran berputar dan pelantar peninjaunya.

Biarpun di bawah selenggaraan pihak MBAS, ia tetap menjadi tanggungjawab bersama untuk memelihara keindahannya.

Jika belum berpeluang menjejakkan kaki ke I-City di Shah Alam, Selangor, warga utara khususnya rakyat Kedah berpeluang bersantai bersama keluarga di ‘Mini I-City’ sambil menghayati keindahan cahaya pokok lampu yang menyinari bandar raya Alor Setar di malam minggu.

Untuk ke ‘Mini I-City’, pe�ngunjung dari luar Kedah boleh menggunakan Lebuh raya Utara Selatan dan keluar melalui Plaza Tol Alor Setar Selatan dan terus ke bandar raya Alor Setar.
Artikel ini disiarkan dalam harian metro - 8/6/11

Jom Cari Belacan Tanjung Dawai

TANJUNG Dawai, antara destinasi percutian popular di Kedah. Tidak hairanlah, ia menjadi pilihan Kumpulan Tropika untuk mengabadikan tempat itu dalam lagu Cinta Pantai Merdeka.
Tanjung Dawai hanyalah perkampungan nelayan yang majoriti penduduknya nelayan dan petani.

Namun, apabila perusahaan berasaskan hasil laut semakin dikenali, pelbagai prasarana dan kemudahan awam mula dibina kerajaan.

Malah, Majlis Perbandaran Sungai Petani membina arked perniagaan bagi kemudahan peniaga dan pelancong.

Pelancong gemar membeli hasil laut seperti belacan, keropok ikan, ikan bilis dan ikan masin kerana harganya memang murah.

Makanan tradisi yang menjadi pilihan di sini ialah ‘gedo­ngcak’, makanan seperti pulut udang, tetapi menggunakan tepung pulut.

Peningkatan pelancong me­nyebabkan restoran ikan bakar tumbuh macam cendawan di sepanjang jalan ke pekan Tanjung Dawai.

Suasana lebih meriah menjelang senja apabila restoran ikan bakar dan makanan laut memasang lampu berwarna- warni, seolah-olah pesta.

Jika berminat memancing, anda boleh menghabiskan malam dengan memancing. Antara ikan yang boleh dipancing di sini ialah gelama, sembilang dan ikan duri. Penginapan tiada masalah kerana banyak chalet disediakan atau anda boleh mencuba kelainan dengan menginap di Resort Chalet Terapung milik Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok.

Justeru, jika berkunjung ke Sungai Petani atau Yan, jangan lepaskan peluang singgah di Tanjung Dawai kerana pelbagai pilihan menanti pelancong terutama ole-ole untuk dibawa pulang.



>>Bagaimana ke sini

Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan, keluar melalui tol Sungai Petani Selatan, menghala ke Bandar Laguna Merbok. Tanjung Dawai kira-kira 30 kilometer daripada plaza tol.

Sepanjang perjalanan, pengunjung akan melewati beberapa institusi pengajian tinggi seperti AIMST University dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Merbok. Sepanjang jalan, banyak gerai menjual nira nipah untuk menghilangkan dahaga.

Dari Alor Setar, anda boleh melalui daerah Yan.

Terdapat juga perkhidmatan bas dari Sungai Petani dan Alor Setar bagi memudahkan orang ramai datang ke pekan ini.

Jika berkelah di Pantai Merdeka, anda boleh mengambil bot dengan bayaran RM2 menyeberang ke Tanjung Dawai yang perjalanannya kira-kira 20 minit.

(Harian Metro 5/5/11)

Cabar Daya Imaginasi, Kreativiti di Pusat Sains Wilayah Utara, Alor Setar

CUTI sekolah sesungguh�nya cukup dinantikan kanak-kanak. Ibu bapa pula mula merencana program atau aktiviti bersama keluarga di sepanjang cuti sekolah yang bakal tiba.
Bagi yang mempunyai banyak masa, percutian keluarga pasti menjadi agenda utama.
Salah satu destinasi menarik yang boleh dikunjungi pada musim cuti sekolah nanti ialah Pusat Sains Negara Wilayah Utara, kira-kira lapan kilometer dari bandar raya Alor Setar, Kedah.

Dibuka pada 1 Mac 2010 yang dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili, tahun lalu, pusat sains itu menerima lebih 2,000 pengunjung.

Tahun ini pelbagai program tersenarai dalam kalendar pusat sains itu khusus untuk pe�ngunjung dan pelajar, antaranya pameran bertema Eksplorasi Galeri, Saintis Tunas bagi murid prasekolah manakala Keajaiban Sains bagi pelajar sekolah menengah dan rendah.

Menjelajah di segenap ruang Pusat Sains Negara Wilayah Utara itu, pengunjung berpeluang melihat galeri penemuan sains dan teknologi yang dibuka sepanjang masa.

Di sudut galeri, bahan pameran berbentuk interaktif dan infomatif mencabar daya imaginasi serta kreativiti pengunjung.

Ia juga sesuai untuk membantu perkembangan otak kanak-kanak terutama mereka di peringkat awal persekolahan.

Selain itu, pengunjung boleh melihat sendiri misteri sains yang menjadi tumpuan ramai iaitu berbasikal meniti kabel, rumah gempa bumi dan tayangan 3D.

Pusat sains bersedia menerima tetamu yang datang secara berkumpulan termasuk rombongan sekolah dari Thailand.

Bagaimanapun, pastikan tempahan dibuat sekurang-kurangnya seminggu lebih awal supaya Pusat Sains Negara Wilayah Utara dapat membuat persediaan.

Pusat sains itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, tandas dan tempat meletak kenderaan.

Disebabkan belum ada kemudahan kafeteria, pengunjung dinasihatkan membawa bekalan makanan dan minuman sendiri.

Selain mengunjungi pusat sains, ibu bapa boleh membawa anak mengunjungi Muzium Padi dan bersantai di Pusat Rekreasi Gunung Keriang yang terkenal dengan batu kristal.

Pusat sains ini tidak mengenakan bayaran masuk. Ia dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan ditutup Jumaat.

Maklumat lanjut, hubungi Pusat Sains Negara Wilayah Utara di talian 04-735 3373 atau layari laman web www.psn.gov.my
Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro :11/5/2012

Mencari Damai Di Tengah Hutan - Bukit Panchor

PULAU Pinang memang terkenal sebagai negeri yang mempunyai banyak tempat menarik. Pantai Batu Feringgi, Padang Kota Lama dan Bukit Bendera adalah antara destinasi yang popular.
Nilai sejarahnya juga istimewa sehingga bandar raya Georgetown dinobatkan Tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada 7 Julai 2008.

Bagaimanapun, apabila membicarakan sektor pelancongan di Pulau Mutiara, isunya hanya tertumpu di bahagian pulau saja.

Hakikatnya, terdapat juga destinasi menarik di bahagian tanah besar negeri itu. Antara destinasi lain ialah Taman Negeri Bukit Panchor di Nibong Tebal, daerah Seberang Prai Selatan.

Taman Negeri itu terletak dalam Hutan Simpan Bukit Panchor meliputi kawasan seluas 445 hektar dan ketinggian tertingginya 416 meter dari aras laut.

Suasana redup dikelilingi pelbagai jenis pokok seperti karas, meranti tembaga dan palas tikus serta deruan air Sungai Buaya dan bunyi-bunyian unggas rimba memberi ketenangan kepada pengunjung.

Ia menjadi pilihan utama penduduk sekitar untuk beriadah pada waktu petang dan berkelah pada hujung minggu.

Jabatan Hutan Pulau Pinang menguruskan taman itu menyediakan pelbagai kemudahan kepada orang ramai termasuk tapak perkhemahan, tandas dan wakaf.

Baru-baru ini, dua chalet dibina sebagai alternatif lain bagi pengunjung yang mahu bermalam.

Air terjun buatan dibina dengan landskap menarik sekali gus mengubah wajah Sungai Buaya seperti air terjun semula jadi dan amat sesuai untuk berkelah.

Taman Negeri Bukit Panchor sesuai untuk aktiviti luar, pilihan pelajar sekolah, IPT dan kelab rekreasi yang sukakan cabaran.

Antara aktiviti yang popular ialah merentas hutan selama 90 minit dengan perjalanan yang mencabar ke Gua Kelawar yang menjadi habitat ribuan kelawar.

Tapak perkhemahan mampu memuatkan hampir 200 peserta dalam satu masa. Ia lengkap dengan dataran dan pentas, tempat memasak, dewan makan, bekalan air paip dan elektrik serta tandas khas berasingan.

Pelantar pejalan kaki sejauh 300 meter yang merentasi paya atau dikenali Laluan Pelantar Wetland membolehkan pengunjung melihat pohon yang menghiasi paya, pelbagai jenis serangga dan anak ikan.

Untuk ke taman itu, jaraknya cuma 10 kilometer dari pekan Nibong Tebal dan berhampiran sempadan Pulau Pinang dan Bandar Baharu, Kedah.

Dari Lebuh Raya Utara-Selatan dari Kuala Lumpur atau Juru, anda boleh keluar melalui susur keluar Jawi dan menghala ke arah Nibong Tebal.
Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro :3/3/11

Tuesday, October 23, 2012

Inilah artikel pencetus segala-galanya, " PANAROMA AIR BUKIT WANG "

PENDUDUK di utara Semenanjung Malaysia mempunyai pelbagai pilihan beriadah hujung minggu sama ada taman tema air di Sungai Petani, pusat beli-belah di Padang Besar atau berkelah di Pantai Merdeka.
Bagi warga sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu, Kedah, Rimba Rekreasi Bukit Wang menjadi pilihan berkelah di hujung minggu. Biarpun berhampiran Alor Setar dan Jitra, ia mempunyai keunikan serta keindahan kerana terletak dalam Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin di daerah Kubang Pasu.

Wang dalam bahasa Thai bermaksud lembah yang dikelilingi bukit bukau. Kawasan itu dikelilingi Bukit Hangus, Bukit Besar, Bukit Buluh dan Bukit Tunggal Besar.
Aliran air yang jernih dan dingin dari Sungai Tosak yang merentangi taman yang berbatu itu membentuk panorama air terjun untuk mandi-manda. Jika meminati aktiviti lasak, Bukit Wang menyediakan denai hutan untuk pelawat meneroka khazanah alam.

Anda boleh melalui trek sepanjang tiga kilometer (km) yang mengelilingi taman itu atau trek sejauh 13km yang membawa anda merentasi hutan sehingga bertemu Hutan Lipur Puncak Janing di daerah Padang Terap. Di samping itu, pengunjung juga boleh menguji ketahanan fizikal dan mental dengan mendaki 351 anak tangga Permatang Seraya yang terbentuk jutaan tahun dulu sambil ditemani siulan unggas rimba. Ini pasti pengalaman tidak boleh dilupakan terutama bagi pelawat yang pertama kali menjejakkan kaki di Bukit Wang. Jika terasa lenguh, anda boleh menggunakan laluan pejalan kaki ala urutan refleksologi.


Pada tahun 1930-an sehingga 1980-an, Bukit Wang membekalkan air bersih kepada penduduk sekitar. Ini dapat dilihat pada sistem paip lama buatan England yang masih utuh di sini. Pelawat juga berpeluang mengenali pokok herba seperti tongkat ali dan kacip fatimah yang tumbuh segar di sekitar taman serta pokok balak. Rimba Rekreasi Bukit Wang juga turut menjadi pilihan sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan belia bagi mengadakan aktiviti luar seperti berkhemah dan jelajah hutan.
Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menyediakan prasarana untuk berkhemah, surau, gazebo dan dewan serba guna selain tempat meletak kenderaan.

Anda juga boleh menggunakan chalet untuk merasai suasana malam di hutan rimba dan tempahan boleh dibuat kepada Pegawai Hutan Daerah Kupang Pasu. Deretan gerai menjual pelbagai makanan ringan termasuk laksa dan rojak memberi peluang anda menjamu selera.
>INFO
Bagaimana ke sini:
- Anda boleh menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dan susur keluar di Jitra Utara (Exit 182). Kemudian, belok ke arah Malau dan Kuala Nerang dan memandu terus ke lokasi peranginan ini.
- Jika datang sekitar Julai atau Disember, pelawat berpeluang menikmati durian yang dijual di tepi jalan selain rambutan dan manggis dengan harga berpatutan.
- Rimba Rekreasi Bukit Wang hanya kira-kira 40km dari Alor Setar dan 12km dari pekan Jitra.

( Harian Metro  12/2/11)
Langkah pertama menuju kegemilangan,
bak kata Dr Irfan Khari - " Leaders are Readers"

Anda mungkin meminati