IPOH memang bandaraya yang sibuk di siang hari. Menjelang malam, suasana menjadi tenang dan sunyi.
Namun, jika mengunjungi Jalan Tahwil Anuar, tatkala malam menjelma, anda dapat menyaksikan kesibukan peniaga menurunkan barang dagangan masing-masing dan membuka gerai mereka.
Semakin malam melabuhkan tirainya, semakin banyak kenderaan berpusu-pusu mencari tempat meletak kenderaan untuk mengunjung Gerbang Malam.
Justeru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan kemudahan meletak kenderaan di sekitar medan
perniagaan ini.
Malah, MBI memperuntukkan RM1 juta untuk menaik taraf Gerbang Malam pada tahun ini.
Terbaru, MBI dan Polis Diraja Malaysia menubuhkan pondok polis dua tingkat di lokasi Gerbang Malam bagi memantau keselamatan kawasan ini berikutan ia semakin mendapat sambutan dari warga tempatan.
Dengan slogan ‘Singgahla...Macam-macam Ada’, pelbagai barangan boleh didapati di sini.
Pakaian wanita, kasut, barang kraftangan dan aksesori telefon bimbit dapat dibeli di Gerbang Malam dengan harga yang berpatutan.
Dari 160 lot niaga yang ditawarkan, 130 daripadanya disewakan. Antara gerai
yang mencuri tumpuan, antaranya gerai yang menawarkan perkhidmatan melukis inai di tangan dan gerai menjual peralatan silap mata.
Pengunjung, Azizah Abd Salim, 30, berkata, dia kerap ke sini untuk mendapatkan barangan keperluan seperti kain tudung kerana harganya lebih murah dan boleh tawar menawar berbanding tempat lain.
Tambahnya, kesibukan di siang hari juga menyebabkannya memilih Gerbang Malam sebagai lokasi berbelanja.
Biarpun berkonsepkan ‘uptown’ seperti di kebanyakan tempat lain, Gerbang malam tetap mempunyai keistimewaan tersendiri menyebabkan kawasan ini sentiasa meriah dengan orang ramai dan sesak terutama pada malam minggu.
Pelancong asing yang menginap di bandaraya ini juga turut meluangkan masa membeli belah di sini.
Pada bulan Ramadan setiap tahun, Gerbang Malam bertambah sibuk dengan pertambahan gerai jualan.
Walau bagaimanapun, gerai makanan dan minuman tidak dibenarkan dibuka di Gerbang Malam mungkin atas faktor kebersihan, pengunjung dapat menjamu selera di medan selera atau restoran berdekatan.
Jika letih berjalan kaki atau untuk melancarkan peredaran darah, singgah saja di beberapa gerai urutan refleksologi, tukang urut bertauliah akan memberikan perkhidmatan mereka dengan bayaran berpatutan.
Justeru, jangan lepaskan peluang menikmati kemeriahan Gerbang Malam apabila mengunjungi Ipoh.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21
No comments:
Post a Comment