Thursday, February 14, 2013

Indahnya Homestay Relau, Kedah Darul Aman


Teks dan Gambar Mohd Sharumnisham Shahbudin

KEDAH mempunyai beberapa perkampungan homestay yang diiktiraf Tourism Malaysia, antara yang terbaik ialah Homestay Relau.
Terletak di daerah Bandar Baharu, 128 kilometer daripada bandaraya Alor Setar, anda yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dari Kuala Lumpur boleh menggunakan susur keluar Jawi untuk ke Relau.
Uniknya kampung ini, ia terletak berjiran dengan Pulau Pinang dan tidak jauh dari Parit Buntar, Perak. Jadi, anda boleh berada di tiga negeri berbeza.

Homestay Relau terletak di bawah koordinasi Sri Impian Travel and Recreation yang dipimpin Abdul Razak Hamid.

Abdul Hamid berkata, sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, inap desa itu menerima pengunjung pelbagai bangsa termasuk pelancong luar dari Jepun, Korea, Eropah dan Afrika.

Katanya, Homestay Relau menjadi pilihan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengadakan program keluarga angkat dan khidmat masyarakat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Homestay Malaysia, berkata 24 daripada 40 rumah yang menyertai program itu mendapat lesen Kementerian Pelancongan.

“Kita tidak mempunyai pantai yang cantik, air terjun menarik atau pulau yang indah tetapi di sini, anda boleh melihat landskap kampungnya selain kekayaan budaya Melayunya yang masih menebal.

“Anda berpeluang menjadi anak angkat kepada keluarga yang bekerja sebagai penoreh getah dan petani.

“Kami akan memberi kesempatan anak-anak angkat menoreh getah atau membajak sawah selain menikmati masakan kampung keluarga angkat,” katanya.

Aktiviti lain disediakan homestay ini ialah gotong-royong, sukaneka bersama keluarga angkat dan melawat perusahaan kecil di kampung, antaranya tanaman cendawan, membuat dodol, rempeyek dan tanaman bunga.

Pada malam terakhir, katanya peserta berpeluang melihat persembahan tarian Melayu, dikir barat dan adat istiadat perkahwinan Melayu oleh kumpulan kebudayaan Homestay Kampung Relau.

“Antara Julai dan Di­sember, pelancong boleh menikmati pelbagai buah seperti durian, dokong dan rambutan.

“Durian Relau terkenal sebagai yang terbaik di negeri Kedah terutama dari jenis Raja Kunyit dan Duri Hitam,” katanya.

Kebiasaannya, pada musim ini, rumah homestay ditempah pelancong Jepun dan Singapura untuk menikmati keenakan buah-buahan tempatan.

Katanya, penginapan di inap desa itu memang selesa apatah lagi kerajaan menyediakan bantuan untuk menaik taraf bilik-biliknya.

“Penginapan disediakan bilik air dan tandas berasingan bagi memberi keselesaan kepada pelancong,” katanya.

Homestay turut mendapat sokongan Lembaga Kemajuan Kedah (KEDA), Pejabat Daerah Bandar Baharu dan Pejabat Pertanian Daerah Bandar Baharu.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/21 

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati