Ekspedisi ini seolah-olah misi menjejak kasih kerana kelab sama berjaya menakluki Pulau Koh Yao ini pada 2001 dan mempunyai keluarga angkat dan kini diteruskan oleh ahli kelab lain pula.
Seramai 80 peserta termasuk tiga pegawai pengiring terbabit dalam ekspedisi lima hari empat malam ini.
Ekspedisi bermula dari Kuala Perlis ke Puju dan Pulau Koh Yao ini diiringi bot Jabatan Kastam dan Polis Marin Thailand.
Selepas lima jam dilambung ombak, peserta tiba di Koh Yao tanpa sebarang masalah.
Pengarah program, Yurnalis Al-boharie Abdul Rahim, berkata program kali ini bukan saja membabitkan aktiviti air, tapi bakti siswa.
Menurutnya, peserta dibahagi kepada dua kumpulan iaitu mereka yang terbabit dengan kayak dan bakti siswa.
"Program kali ini ada kelainan kerana matlamat projek ialah memaksimumkan kapasiti aktiviti demi kebaikan peserta.
"Ia turut memberi pendedahan menyeluruh untuk mengoptimumkan lagi pengalaman di samping meraih pelbagai ilmu baru," katanya.
Pelbagai aktiviti diadakan seperti tinggal bersama keluarga angkat dan gotong-royong membersihkan masjid selain kelas agama dan bahasa Inggeris.
Peserta, Mohd Nazri Mohamaed Hashim, 20, dari UM berkata, dia cukup teruja dengan aktiviti dilaksanakan kerana mencabar fizikal dan kesabaran dalam melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat.
"Program ini biarpun penat tetapi berbaloi. Banyak pengalaman unik diperoleh sekali gus diharap dapat memacu lagi pembinaan jati diri saya untuk masa depan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17
No comments:
Post a Comment