Monday, February 18, 2013

Chu Chi Tunnel, Vietnam - Ada Berani?

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Panik, sesak nafas dan teruja bercampur baur apabila penulis cuba meneroka satu laluan terowong Chu Chi.
Lenguh membongkok sepanjang laluan yang sempit dan gelap itu menyebab­kan penulis cuma mampu merangkak sejauh 50 meter saja.

Tetapi kesukaran dan keunikan terowong inilah yang membuatkan Vietnam menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

Chu Chi Tunnel ini me­ngalami proses sejarah yang panjang. Sistem pertahanan yang unik di dunia ini dibina selama 30 tahun.

Ada dakwaan terowong itu sepanjang 250 kilometer (km), tetapi musnah akibat dibom dan runtuh secara semula jadi.

Chu Chi Tunnel dibina sekitar 1940 ketika Perancis menjajah Vietnam. Selepas itu pembinaannya dipergiat­kan ketika era pendudukan Amerika Syarikat pada 1959 hingga 1975.

Strategi unik ini me­nyumbang kepada kekalahan tentera bersekutu. Terowong ini menjadi tempat tinggal di antara 7,000 hingga 8,000 tentera Viet Cong dan keluarga mereka.

Kubu bawah tanah ini dilengkapi bilik rawatan, mesyuarat, tempat memasak serta berek tentera.

Lebih mengerikan, kawasan sekitar dipenuhi jerangkap samar.

Chu Chi Tunnel bertambah misteri kerana sehingga kini, sejarah belum menemukan siapa perancang utama pembinaannya.

Di sini juga dipamerkan senjata yang pernah digunakan ketika perang dulu seperti AK47 dan rifel carbine. Peluru senjata ini dijual pada harga RM5 sebutir.

Di samping itu, sisa-sisa peperangan seperti kelongsong meriam dan bangkai kereta kebal turut menjadi tarikan.

Di akhir lawatan pe­ngunjung dijamu dengan ubi kayu kukus dicicah kacang tumbuk bercampur garam dan teh hijau panas yang menjadi makanan ruji pejuang di terowong.

Destinasi bersejarah ini hanya terletak 70km dari bandaraya Ho Chi Minh, tetapi disebabkan lalu lintas yang sentiasa sesak di kota itu, perjalanan boleh mengambil masa dua jam untuk sampai.

Bagi yang melancong secara pakej, tiada masalah untuk berkunjung ke tempat bersejarah kerana kebanyakan agensi pelancongan menjadikan lokasi ini sebagai destinasi wajib.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati