Sunday, February 17, 2013

Selam Skuba @ Pulau Songsong, Kedah


SUATU ketika dulu, tiada sesiapa dibenarkan singgah di pulau ini termasuk nelayan. Sebelum merdeka, ia dikuasai tentera British.
Pada tahun 1940-an, pulau ini diserahkan kepada Tentera Udara Australia yang berpangkalan di Butterworth untuk dijadikan kawasan ujian peluru berpandu.
Selepas perjanjian bersama Kerajaan Malaysia tamat, pulau ini diletak di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pangkalan ujian serta latihan ketenteraan.

Tidak hairanlah pelancong dan nelayan dilarang menghampiri pulau itu.

Kini, permata yang tersembunyi ini kian mendapat perhatian daripada pengunjung terutama kaki pancing dan penyelam.

Biarpun bangunan usang dan terbiar bertaburan di sekitar pulau, pantainya yang memutih memang mendamaikan.

Anda dapat rasakan angin yang bertiup dari Selat Melaka amat menyamankan.
Lebih menarik, sebahagian dari pantainya dipenuhi batu kawi yang memberi
pemandangan menarik.

Menjelang Julai hingga September, perairannya dikunjungi bot pemancing dari dalam dan luar negara. Kawasan itu kaya dengan ikan tenggiri dan alu-alu selain sotong.

Dasar lautnya menjadi syurga baru penyelam. Lokasinya yang lebih dekat dari Pulau Payar dan peraturan lebih terbuka menjadikan taman laut itu menarik pengunjung meneroka khazanah alam ini.

Bekas Penghulu Mukim Dulang, Yan, Kedah, Rosmidi Osman berkata, pelbagai spesies hidupan laut boleh dilihat, antaranya clown fish, udang kara, landak laut dan terumbu karang pelbagai bentuk.

Beliau yang juga penyelam bertauliah, turut menjadi jurupandu kepada kumpulan penyelam yang mahu melihat keindahan dasar laut Pulau Songsong.

“Majlis Daerah Yan dengan kerjasama Pejabat Daerah Yan serta Kerajaan Kedah sentiasa menjalankan program konservasi bagi memelihara kebersihan dan keindahan pantai serta dasar lautnya.

“Pulau ini adalah khazanah laut yang perlu dijaga,” katanya.

Pulau Songsong yang terletak di daerah Yan, Kedah terletak kira-kira 35 minit perjalanan dengan bot dari Jeti Tanjung Dawai atau 20 minit dari Jeti Sungai Udang, Yan.

Jika datang ke sini, anda juga boleh mengunjungi kawasan persekitaran, antaranya Pulau Telur, Pulan Bidan dan Pulau Bunting.

Anda yang mahu berkhemah dan bermalam, maklumkan kepada pihak berkuasa agar tindakan segera boleh diambil jika berlaku sesuatu perkara.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati