Wednesday, March 6, 2013

Mari Menari di Taman Budaya Sarawak




Bumi Kenyalang ini sememangnya kaya dengan budaya dan masyarakat dari pelbagai etnik. Sebagai negeri terbesar di Malaysia, adalah mustahil untuk kita meneroka seluruh negeri Sarawak ini untuk memperbelajari adat resam mereka pada masa yang singkat, terutama bagi mereka yang terhad masanya untuk bercuti ke sini.,
Namun, dengan wujudnya Taman Budaya Sarawak di Kuching, pelancong-pelancong berpeluang menghayati dan memahami adat resam dan cara hidup seharian etnik-etnik utama di Sarawak dalam beberapa jam sahaja.
Terletak 35 kilometer dari bandaraya Kuching, Taman Budaya ini menjadi destinasi wajib para pelancong yang memilih Kuching sebagai destinasi percutian. Beberapa buah rumah tradisional mengikut etnik utama Sarawak dibina atas tanah seluas 17 ekar. Rumah kaum Bidayuh, Iban, Melanau, Penan, Orang Ulu, Cina dan Melayu sedia menanti kunjungan pelawat.
Di setiap rumah berkenaan, pelbagai aktiviti harian etnik tersebut dapat dilihat dan dipelajari. Misalnya, pengunjung berpeluang menyumpit di Ruman Penan dan menyaksikan proses tenunan kain kumbu di Rumah Iban. Rumah-rumah ini juga menjual makanan tradisi mereka seperti sagu dan kuih kapit.
Persekitaran yang indah  berlatarbelakangkan Gunung Santubong dan tasik yang tenang airnya mendamaikan lagi sesiapa sahaja yang berada si sini.
Tetapi untuk melihat persembahan kebudayaan di dewan utama, pastikan kita berada pada masa yang betul kerana persembahan akan diadakan pada jam 11.30 pagi dan juga 4.30 ptg.
Bagi Nasrunsafarin Ahmad Razi dari Kedah, beliau amat teruja apabila turut sama dipelawa untuk menari di atas pentas bersama penari-penari kebudayaan tersebut.
Walaupun dikenakan tiket sebanyak RM 60 untuk dewasa, ia tidak menjadi penghalang pelawat untuk mengunjunginya. Sekiranya anda mempunyai kad pelajar, tiketnya cuma RM 15
Malah, saban tahun, Taman Budaya ini menjadi tumpuan dunia kerana menghimpunkan pemuzik seluruh dunia dalam acara Rainforest Music Festival yang tahun ini dijadualkan berlangsung pada bulan Jun.
Justeru, sekiranya kita bercuti di Kuching, pastikan “Muzium Hidup” ini termasuk dalam senarai lawatan kita agar dapat mengenali budaya etnik Sarawak dengan lebih dekat.
( Harian Metro 7/3/2013 )

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati