Wednesday, March 13, 2013

Cabaran ATV di Bukit Kemensah





Apakah perancangan anda hujung minggu ini? Jika masih lagi tiada sebarang aktiviti yang direncanakan, berkunjunglah ke Bukit Kemensah, Hulu Kelang. Di sana, kita boleh mencuba aktiviti mencabar yang menjanjikan pengalaman yang baharu, iaitu menunggang ATV di Bukit Kemensah Adventure Park.
ATV ( All-terrain Vehicle ) ialah motorsikal beroda empat atau tiga yang mampu mengharungi pelbagai bentuk muka bumi. Jika dahulu, kosnya agak tinggi, tetapi kini ia boleh disewa dengan kos yang rendah. Pengunjung boleh memilih pakej serendah RM 50 untuk trip setengah jam sehinggalah pakej berharga RM 300 untuk aktiviti selama 3 hingga 4 jam.
Trek di sini begitu mencabar dengan pelbagai halangan termasuk laluan di bawah pokok balak yang tumbang dan melalui titi buluh di kawasan yang masih lagi diwartakan sebagai hutan simpan. Menariknya, penunggang berpeluang berhenti  di satu kawasan air terjun yang digelar Air Terjun Sofia Jane untuk mandi-manda dan berehat. Permandanganya yang indah dan mendamaikan pasti menghilang penah lelah penunggang yang berhempas pulas untuk sampai ke situ.
Bagi Faisol Ahmad, 37, beliau selalu ke sini untuk bersantai bersama teman sepejabat.
"Di samping dapat menguji kemahiran, aktiviti ini dapat memupuk semangat kerjasama di kalangan kami yang bertugas di jabatan yang sama," katanya yang bertugas di Lembaga Hasil Dalam Negeri. Lagipun, lokasinya yang berhampiran Zoo Negara memudahkan lagi pengunjung terutama warga kota mengunjunginya.
Untuk mereka yang tidak pernah menunggang ATV ini, anda tidak perlu khuatir kerana anda akan diberi taklimat oleh jurupandu yang berpengalaman dan akan diiringi sepanjang perjalanan.  Malah, setiap penunggang diberi peluang menyesuaikan diri dengan ATV masing-masing sebelum perjalanan dilakukan.
Oleh itu, bagi yang berkelapangan dan mahu mencuba sesuatu yang baharu, cabarlah keberanian dan ketahanan fizikal dan mental anda dengan menakluki Bukit Kemensah ini dengan ATV.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati