Friday, September 20, 2013

Rumah Lindungan Raja Sedim

Kedah Darul Aman antara negeri yang kaya dengan warisan sejarah serta menjadi tarikan pelancong tempatan dan asing.
Pelbagai tempat terkenal yang biasa dilawati antaranya Candi Batu Pahat di Lembah Bujang, Kota Kuala Kedah dan Masjid Zahir di Alor Setar.

Namun, masih ada peninggalan sejarah di negeri jelapang padi itu belum diperkenalkan kepada orang ramai secara umum.

Bertempat di Sedim dalam daerah Kulim, sebuah rumah kayu yang kaya dengan seni bina Melayu serta mempunyai latar belakang sejarah sewajarnya dikongsi bersama.
PERSEKITARAN yang bersih, malah rumah terbabit masih kelihatan utuh.
Sebelum ini Sedim amat terkenal sebagai destinasi perkelahan dan pusat rekreasi arus deras di utara tanah air.

Ditambah lagi dengan pembinaan ‘Tree Top Walk’ iaitu titian sepanjang 950 meter antara yang terpanjang di dunia berjaya melonjakkan nama Sedim dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Di samping popular sebagai kawasan rekreasi, kewujudan rumah lama itu memberi nilai tambahan kepada Sedim.

Sejarah rumah ini bermula pada Disember 1941 apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang ketika itu menjawat jawatan Pegawai Daerah Kulim memilih kediaman itu sebagai tempat bersemayam Sultan Kedah Almarhum Tuanku Abdul Hamid untuk berlindung ketika meletus Perang Dunia Kedua.

Turut bersama baginda ialah Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang ketika itu berusia 14 tahun.

Rombongan Diraja ini disambut meriah penduduk setempat dan memberikan kawalan keselamatan secukupnya kepada baginda.

Lebih bermakna, tanggal 12 Januari 1962, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Kampung Sedim sebagai Kampung Lindungan Raja dan rumah yang asalnya milik Penghulu Mukim Sedim ketika itu dikenali sebagai Rumah Lindungan Raja.

Malah, lokasi air terjun tempat baginda bersiram turut digelar Jeram Raja dan masih wujud sehingga hari ini.

Penghulu Mukim Sedim Zulkifli Omar berkata, rumah itu mengalami beberapa pembaikan dan pengindahan.

“Sebelum ini, Lembaga Muzium Kedah memberi perhatian dan bertanggungjawab menguruskan rumah ini.

“Namun, atas sebab-sebab tertentu, tanggungjawab itu diserahkan kepada masyarakat tempatan dan mendapat peruntukan Yayasan Sultanah Bahiyah,” katanya.

Meskipun sejarah mengenainya sudah lama berlalu, pengunjung masih berpeluang untuk menghayati dan menghargai kepentingan dan ukiran seni di rumah itu seperti katil antik, gambar dan artikel.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/20  0  0 Google +0  0  0

Monday, September 9, 2013

Perlis Bike Week 2013

Lantaran itu, Jabatan Belia dan Sukan Perlis mengambil inisiatif menganjurkan Perlis Bike Week 2013 sempena Festival Belia Perlis 2013, baru-baru ini.

Pegawai Pembangunan Sukan dan Rekreasi JBS Perlis, Zulkernaein Wahad berkata, pihaknya melihat golongan itu berpotensi diketengahkan dengan kerjasama Perlis Motor Sport Club.

“Selain menghimpunkan peminat dan pemilik motosikal dari pelbagai kategori di utara tanah air, kami mengadakan satu pertandingan dikenali sebagai ‘Riding Skill Time Time Attack’.

“Pertandingan yang menarik perhatian ramai ini memerlukan penunggang melalui laluan berliku sejauh 350 meter. Penunggang yang terpantas serta menamatkan ujian dengan penalti minimum dikira pemenang,” katanya.

Penyelaras programnya, Mohd Aduha Rosli berkata, pertandingan motosikal cantik kerap dianjurkan, jadi pihaknya merasakan satu kelainan apabila membawa pertandingan ‘Riding Skill Time Time Attack’ ke negeri itu.

Menurutnya, dua kategori dipertandingkan iaitu Supercubcai membabitkan motorsikal 150 cc ke bawah dan Big Bike yang menggunakan jentera bersesaran melebihi 150 cc.

“Biarpun hanya 19 penunggang mengambil bahagian, pihak kami berbangga kerana dapat mencungkil bakat anak muda tempatan.

“Lebih menarik, pertandingan itu turut disertai penunggang cilik berumur lapan tahun. Bagi kami, semua peserta adalah pemenang kerana berani me­nyahut cabaran berbanding mereka yang hanya berani berlumba di jalan raya,” katanya.

Pertandingan di perkarangan Stadium Utama Kangar itu dimenangi pasukan Azhar Motorsport dari Pulau Pinang bagi kategori Supercubcai, manakala Big Bike dimenangi pasukan Supermoto Perlis.

Hadiah disampaikan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perlis, Shamsul Tahrin Mohd Tahir.

Saturday, July 27, 2013

Kerang Rebus Hutan Lipur Bukit Panchor


Di bulan Ramadan ini, pelbagai juadah istimewa dan unik boleh dilihat sedangkan pada bulan lain, ia tidak boleh diperoleh.
Bagi penggemar tepung pelita, mereka memang menanti kedatangan bulan puasa kerana dapat menikmati juadah kegemaran itu.
Di Parit Buntar dan Nibong Tebal, sudah menjadi tradisi sejak dulu lagi premis makanan yang menghidang­kan pelbagai jenis kerang dan siput setiap malam di bulan puasa.

Siput-siput ini dihidangkan secara rebus atau bakar, cuma kelazatan kuah kacang pencicah yang membezakan antara satu kedai dengan kedai yang lain.

Salah satu kedai yang popular di sini ialah Kantin Hutan Lipur Bukit Panchor. Terletak tidak jauh dari pekan Nibong Tebal, ia menjadi tumpuan penggemar makanan laut.

Malah, ada sanggup datang dari Ipoh dan Alor Setar semata-mata untuk menikmati kerang rebus itu.

Kedai milik Sarimah Mat Desa ini menyediakan pelbagai jenis siput seperti kerang bulu, kupang, siput duri dan siput halia.

Mengusahakan kedai itu bersama suami, Mohd Rashid Abdullah, perniagaan yang dimulakan sejak lapan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Sarimah, setiap malam, hampir 140 kilogram (kg) kerang dijual. Jumlah itu bertambah pada malam minggu.

“Pelbagai jenis kerang yang dijual di sini antaranya kerang bulu, kupang, siput duri dan siput halia.

“Kerang yang digunakan adalah segar dan bekalan diambil setiap hari di jeti nelayan Sungai Udang.

“Harga yang dikenakan kepada pelanggan adalah berpatutan iaitu antara
RM8 hingga RM15 sekilo,” katanya.

Di samping menghidangkan kerang dan siput, rojak buah dan ketam serta udang celup tepung turut disediakan.

Lebih menarik, hida­ngan telur belangkas juga dijual kepada pelanggan berharga RM10 seekor.

Hidangan telur belangkas ini juga lain dari yang lain kerana hanya yang berpengalaman boleh memproses belangkas kerana tersilap langkah, ia boleh memabukkan.

Pelanggan, Helmi Halim berkata, peluang menikmati hidangan kerang dan siput bersama kawan-kawan selepas solat sunat tarawih adalah satu kemestian.

“Selain kuah kacang yang lazat, persekitarannya yang dikelilingi pokok hutan dan anak sungai menambahkan lagi kedamaian bersantai.

“Ada kalanya, saya bersama kawan-kawan boleh duduk di sini sehingga 2 pagi,” katanya.

Ruang meletak kereta yang luas dan kemudahan lain turut menjadikan Kantin Hutan Lipur Bukit Panchor ini pilihan ramai.

Malah, ada kalanya pelanggan terpaksa menunggu giliran kerana ketiadaan meja dan kerusi untuk menjamu selera.

Mahu menikmati hida­ngan siput dan kerang segar ini, kunjungan ke Hutan Lipur Bukit Panchor pastinya tidak mengecewakan.

Namun, sajian ini hanya boleh dinikmati sempena Ramadan. Jika tidak sempat merasainya tahun ini, kunjungi kantin Hutan Lipur Bukit Panchor di Ramadan tahun depan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Sunday, July 7, 2013

Langkawi Ironbound 24H Challenge 2013


Foto

   Kejohanan Langkawi Ironbound 24Hours Challenges 2013 (LIBC 2013) membantu merancak industri pelancongan tempatan dan negara ini.
Kejohanan sukan lasak 24 jam tanpa henti itu menarik 30 pasukan tempatan dan antarabangsa termasuk Hong Kong, Singapura dan Indonesia Pengarah LIBC 2013, Shamsuri Abd Latif, berkata pihaknya berbangga dengan kejayaan penganjuran itu apatah lagi pemilihan Langkawi yang memang terkenal sebagai sebagai destinasi pelancongan di peringkat antarabangsa.
LIBC 2013 menguji ketahanan mental dan fizikal peserta kerana terpaksa beraksi dalam beberapa kategori termasuk berkayak selama 10 jam ke Pulau Tuba.

Tanpa rehat dan makan yang teratur, mereka berbasikal dan berlari sebelum meneruskan dengan luncur kasut roda dan kemahiran tali di air terjun Telaga Tujuh.


PESERTA LIBC 2013 berkayak mengharungi ombak ke Pulau Toba.

Kesukaran yang perlu ditempuhi sepanjang 200 kilometer laluan kejohanan itu menyebabkan hanya tiga pasukan menamatkan perlumbaan di bawah tempoh 24 jam bagi merebut hadiah bernilai RM70,000.

Pasukan SOS yang dianggotai Suhaimi Mohahadin, Rajemer Rejab, Hafizul Mohamad dan Mohd Syukri Sulaiman muncul juara LIBC 2013 dengan catatan masa 22 jam 37 minit.

Pasukan Adventure Madness’ dari Singapura di tempat kedua.

Juara kategori campuran dibolot Wangodo Edge dari Singapura yang dianggotai Yan Jiehui, Wilson low, Samuel Lin dan Christ Yeo.

Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli.

Kejayaan penganjuran LIBC 2013 itu membuktikan tenaga anak tempatan mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia tetapi juga memberi kesan positif bagi sektor pelancongan negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Sunday, June 23, 2013

Jom Makan di BBQ Steamboat


 Menjelang malam, otak pasti ligat memikirkan menu apakah yang akan dijamah untuk makan malamnya. Sekiranya sudah jemu dengan nasi atau makanan ruji yang lain, apa kata malam ni ini kita mencuba makanan ala steamboat pula.

Jika dahulu, amat sukar untuk menemui premis-premis yang menyediakan stemboat ini, terutamanya secara layan diri dan pastinya yang halal. Jika adapun, kebanyakannya diragui status kehalalannya.

Kini, jika berada di Bandaraya Alor Setar dan berkeinginan menikmati hidangan steamboat, singgahlah ke BBQ Steamboat yang terletak enam kilometer dari pusat bandar.

Konsepnya yang santai dan terbuka menarik perhatian pengunjung dari pelbagai lapisan. Tambahan pula, perkhidmatan wifi percuma yang disediakan menjadikan ia  lokasi kegemaran golongan remaja.

Menurut pemiliknya, Puan Noraini Sulaiman, konsep steamboat ini timbul setelah memerhatikan di Alor Setar belum ada ada restoren stemboat, kebanyakannya adalah masakan Thai dan nasi kandar. Usaha beliau mencubanya setahun lalu tidak sia-sia kerana saban malam, semua meja yang mampu memuatkan hampir 200 orang pelanggan sentiasa penuh. Malah, menjelang malam minggu atau cuti umum, ramai yang terpaksa pulang hampa tiada lagi meja yang kosong.

Dengan membayar RM 17 untuk dewasa dan RM 10, para pelanggan boleh memilih sesuka hari pelbagai bahan untuk menyiapkan sendiri juadah mereka. Terdapat pelbagai jenis makanan laut, daging, ayam yang diperap dengan macam-macam cara dan  sayur-sayuran yang boleh dipilih bersama sup ayam atau tomyam berserta nasi goreng mee goreng sedia menanti pengunjung.

Sesuai dengan slogannya “Makan Sampai Puas”, dengan membayar harga tersebut, pelanggan boleh makan apa sahaja sehingga restoren menutup operasinya pada jam 12 malam Lebih menarik, para pengunjung dapat menyediakan sendiri air batu campur mereka mengikut citarasa masing-masing. Kanak-kanak pula pasti suka dengan aiskrim pelbagai perisa yang turut disediakan secara percuma di sini.

Di samping itu, menjelang bulan Ramadhan ini, pihak BBQ Steamboat turut menganjurkan pertandingan fotografi pelanggaan yang pernah ke sini dan hadiahnya semestinya dapat berbuka puasa secara percuma di sini bersama keluarga.
Dengan tempat kereta yang luas dan lokasinya yang berhadapan Hospital Sultanah Bahiyah, menjadikan BBQ Steamboat ini mudah untuk dikunjungi. Andainya anda berhasrat untuk datang bersama keluarga atau rakan-rakan terutama untuk meraikan sesuatu, eloklah membuat tempahan meja terlebih dahulu akan kehadiran anda nanti tidak akan mengecewakan anda sekeluarga



Wednesday, June 5, 2013

Pai Koh Samui






Negara Thailand memang terkenal dengan keindahan pulau-pulau dan pusat-pusat peranginan bertaraf dunia. Namun begitu, kebanjiran terlalu banyak pelancong menyebabkan keindahan-keindahan semulajadi ini semakin tercemar dengan pembangunan dan juga masalah-masalah sosial seperti yang berlaku di Phuket dan Pattaya

Tetapi masih ada lagi destinasi-destinasi yang masih lagi terpelihara dan sesuai untuk lokasi percutian, sama ada untuk berbulan madu ataupun bercuti bersama keluarga. Koh Samui misalnya, masih kekal dengan keindahan alam semulajadinya yang amat memukau.

Kebiruan air lautnya dan kepelbagaian rupa bentuk muka buminya menjadi tarikan utama pelancong seluruh dunia untuk ke sini. Pantai Chaweng, Lamai, Bophut dan Maenam adalah pantai yang popular di Koh Samui. Pengunjung akan terasa damai dan tenang menyaksikan pasir yang memutih dan angin laut yang begitu menyegarkan di samping melihat kapal-kapal layar dan bot-bot yang berlabuh di laut yang begitu jernih.

Selain itu, kuil Buddha seperti Big Buddha dan mayat sami besar Buddha, Loung Pordoeng yang meninggal dunia 20 tahun dahulu yang dipamerkan turut menjadi salah satu tarikan utama pelancong.

Paling menarik dan agak lucu, terdapat batu berbentuk seperti alat sulit lelaki dan perempuan yang digelar Grandfather dan Grandmother Rock menjadi tumpuan utama pelancongan di pantai Lamai sehinggakan kawasan ini penuh sesak dengan kenderaan yang membawa pelancong untuk bergambar kenangan dengan batu-batu ini.

Satu lagi tarikan populardi Koh Samui ini ialah Namuang Safari Park. Di sini kita berpeluang menunggang gajah yang akan membawa kita ke air terjun setinggi 80 meter. Gajah-gajah yang jinak ini mudah didekati dan pelbagai gelagat dapat dilihat apabila kita menghulurkan pisang untuk gajah-gajah ini makan.

Koh Samui juga terkenal dengan gugusan pulau yang begitu indah di Angthong National Marine Park. Untuk ke sini, pengunjung perlu mengambil pakej sehari yang disediakan oleh agensi-agensi pelancongan. Pengunjung akan dibawa untuk snorkelling, berkayak dan juga melawat gua-gua yang ada di pulau-pulau ini. Pastinya, lawatan ke taman laut akan memberikan kenangan seumur hidup kepada kita.

Untuk berkunjung ke Koh Samui, terdapat dua kaedah, iaitu dengan kapal terbang yang akan mendarat di Lapangan Terbang Koh Samui, atau melalui jalan darat yang akan menggunakan feri yang bertolak dari Donsak, Surrathani.

Sememangnya pelbagai destinasi dan aktiviti dapat dilakukan sepanjang berada di Koh Samui. Dan perancangan perlu dilakukan dengan teliti agar tarikan-tarikan utama ini di sini tidak terlepas dari tentatif lawatan, terutamanya bagi mereka yang melancong tanpa mengambil mana-mana pakej lawatan.

Monday, June 3, 2013

Pai Danok!



Pekan Danok amat popular sebagai pintu masuk utama ke negara Thailand. Kedudukannya yang berjiran dengan Bukit Kayu Hitam di penghujung Lebuh Raya Utara-Selatan ( PLUS ) menyebabkan ia menjadi pilihan pengguna untuk ke negara Gajah Putih ini berbanding Padang Besar di Perlis mahupun di Sungai Golok di Kelantan
Namun begitu, pekan yang begitu sinonim dengan julukan “Syurga Lelaki” ini membawa maksud yang agak negatif kepada kita. Tetapi, di sebalik kehidupan malamnya yang meriah dengan pusat-pusat hiburan, pekan Danok di selatan Thailand tetap menjadi tumpuan utama pelancong Malaysia untuk membeli-belah di siang hari. Tambahan pula, keselamatan di sini lebih terjamin berbanding daerah-daerah lain di selatan Thailand seperti Yala atau Naratiwhat.

Sesuai sebagai lokasi transit pelancong untuk ke lokasi percutian bertaraf dunia seperti di Koh Samui, Krabi ataupun Hatyai, Danok menyediakan pelbagai kemudahan dan barangan untuk dipilih dan dibeli. Pakaian sukan, pakaian wanita, buah-buahan dan beras Siam amat mudah didapati dan sekiranya pandai tawar menawar, pasti kita dapat memperolehi dengan harga yang amat murah. Lebih menarik, kesemua peniaga di sini mampu bertutur dalam Bahasa Melayu.
Tetapi, bagi yang berminat untuk membeli beras di sini, pastikan membelinya pada had 10 kilogram sahaja seorang kerana itulah had yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menyekang aktiviti penyeludupan.
Memandangkan pintu sempadan Malaysia ditutup pada jam 12.00 tengah malam, adakalanya pelancong yang tidak sempat untuk daftar keluar sempadan pada waktu tersebut akan memilih untuk bermalam di sini. Hotel-hotel juga semakin banyak dibina dan hargan biliknya pula tidak begitu mahal. 



Di samping aktiviti perniagaan barang-barangnya, Danok juga terkenal dengan makanan-makanan tradisi Thai dan kebanyakannya dijual oleh orang Islam dan semestinya halal. Pulut ayam, pulut bersama mempelam dan tomyam yang amat membuka selera banyak dijual di restoren dan gerai-gerai di sekitar pekan. Apabila tiba waktu malam, lebih banyak gerai-gerai makanan halal dibuka dan tidak menjadi masalah kepada pengunjung beragama Islam untuk menjamu selera pada waktu malam. Malah, ada penduduk di utara semanjung kerap ke sini semata-mata untuk menikmati hidangan makanannya sahaja.
Sekiranya ingin berkunjung ke Thailand mahupun mahu pulang ke Malaysia melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, pastikan anda singgah dahulu ke pekan Danok ini untuk membeli-belah ataupun menikmati juadah-juadah yang lazat yang terdapat di sini.

Monday, April 1, 2013

Bandar Diraja Kuala Kangsar Kaya Sejarah

Bandar Diraja Kuala Kangsar memang ter-kenal dengan produk kraftangan labu sayong dan juga bangunan-bangunan yang tinggi nilai sejarahnya.
Kekayaan budaya dan sejarahnya menjadikan Kuala Kangsar antara destinasi popular dikunjungi di Perak Darul Ridzuan.

Lokasinya tidak jauh dari susur keluar Kuala Kangsar, Lebuhraya Utara-Selatan, membuatkan bandar diraja ini mudah dikunjungi.

Walaupun bandar bersejarah ini sudah mengalami pemba-ngunan pesat, nilai sejarahnya masih lagi kekal.

Mercu tanda pertama yang akan ditemui pastinya Bulatan Menara Jam di tengah-tengah kesibukan masyarakatnya.

Destinasi utama yang menjadi tumpuan pelancong adalah Bukit Chandan. Di sinilah letak binaan unik dan bersejarah yang amat terkenal di Malaysia.

Bangunan utama yang paling mendapat perhatian ialah Masjid Ubudiah, masjid paling terkenal di Perak.

Di Bukit Chandan juga terletak Istana Kenangan yang lebih dikenali Istana Kuning dan dibuka untuk orang ramai. Istana Iskandariah, istana rasmi Paduka Sultan Perak juga terletak di sini.

Bagi yang berminat dengan koleksi peribadi Sultan Perak, melawat ke Galeri Sultan Azlan Syah yang terletak tidak jauh dari Masjid Ubudiah pasti mengujakan.

Setiap pelawat dikenakan bayaran RM4 dan harus dii-ngatkan, mengambil gambar di dalam galeri adalah dilarang.

Di samping istana lama, Kuala Kangsar juga terkenal dengan pusat pendidikan elit Melayu yang tertua iaitu Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) tempat di mana Tun Hussein Onn dan Paduka Sultan Perak mendapat pendidikan.

Berhampiran MCKK juga terdapat sepohon pokok getah yang tertua di Malaysia berusia lebih 100 tahun dan dijaga dengan baik di pekarangan Pejabat Daerah Kuala Kangsar.

Mengunjungi Kuala Kangsar tidak lengkap jika tidak melihat perusahaan labu sayong. Dengan me-nyeberangi Sungai Perak melalui Jambatan Sultan Jalil, pelawat akan tiba ke Kampung Kepala Bendang, Mukim Sayong, satu kilometer dari pusat Bandar.

Sepanjang jalan dapat dilihat bengkel memproses labu ini. Sekiranya berpeluang, pengunjung boleh membentuk kraftangan dengan tangan mereka sendiri.

Penat berjalan, singgah ke Taman Persisiran Sungai Perak dan Laman Budaya. Keenakan Laksa Kuala Kangsar dan cendol di gerai berdekatan pasti menghilangkan penat dan lelah seharian.

Peluang melihat pemandangan Sungai Perak yang mengalir tenang dan Bazar Kraftangan untuk membeli cenderamata pasti menyeronokkan.

Bagi yang ingin menginap, inap desa dengan harga yang amat berpatutan banyak boleh didapati di sini.

Sememangnya Bandar Diraja Kuala Kangsar bukan sahaja kaya dengan sejarah dan budaya, tetapi juga pelbagai tarikan yang lain dan amat sesuai untuk dijadikan destinasi lawatan seisi keluarga.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Wednesday, March 13, 2013

Cabaran ATV di Bukit Kemensah





Apakah perancangan anda hujung minggu ini? Jika masih lagi tiada sebarang aktiviti yang direncanakan, berkunjunglah ke Bukit Kemensah, Hulu Kelang. Di sana, kita boleh mencuba aktiviti mencabar yang menjanjikan pengalaman yang baharu, iaitu menunggang ATV di Bukit Kemensah Adventure Park.
ATV ( All-terrain Vehicle ) ialah motorsikal beroda empat atau tiga yang mampu mengharungi pelbagai bentuk muka bumi. Jika dahulu, kosnya agak tinggi, tetapi kini ia boleh disewa dengan kos yang rendah. Pengunjung boleh memilih pakej serendah RM 50 untuk trip setengah jam sehinggalah pakej berharga RM 300 untuk aktiviti selama 3 hingga 4 jam.
Trek di sini begitu mencabar dengan pelbagai halangan termasuk laluan di bawah pokok balak yang tumbang dan melalui titi buluh di kawasan yang masih lagi diwartakan sebagai hutan simpan. Menariknya, penunggang berpeluang berhenti  di satu kawasan air terjun yang digelar Air Terjun Sofia Jane untuk mandi-manda dan berehat. Permandanganya yang indah dan mendamaikan pasti menghilang penah lelah penunggang yang berhempas pulas untuk sampai ke situ.
Bagi Faisol Ahmad, 37, beliau selalu ke sini untuk bersantai bersama teman sepejabat.
"Di samping dapat menguji kemahiran, aktiviti ini dapat memupuk semangat kerjasama di kalangan kami yang bertugas di jabatan yang sama," katanya yang bertugas di Lembaga Hasil Dalam Negeri. Lagipun, lokasinya yang berhampiran Zoo Negara memudahkan lagi pengunjung terutama warga kota mengunjunginya.
Untuk mereka yang tidak pernah menunggang ATV ini, anda tidak perlu khuatir kerana anda akan diberi taklimat oleh jurupandu yang berpengalaman dan akan diiringi sepanjang perjalanan.  Malah, setiap penunggang diberi peluang menyesuaikan diri dengan ATV masing-masing sebelum perjalanan dilakukan.
Oleh itu, bagi yang berkelapangan dan mahu mencuba sesuatu yang baharu, cabarlah keberanian dan ketahanan fizikal dan mental anda dengan menakluki Bukit Kemensah ini dengan ATV.

Anda mungkin meminati