Negara Thailand memang terkenal dengan keindahan
pulau-pulau dan pusat-pusat peranginan bertaraf dunia. Namun begitu, kebanjiran
terlalu banyak pelancong menyebabkan keindahan-keindahan semulajadi ini semakin
tercemar dengan pembangunan dan juga masalah-masalah sosial seperti yang
berlaku di Phuket dan Pattaya
Tetapi masih ada lagi destinasi-destinasi
yang masih lagi terpelihara dan sesuai untuk lokasi percutian, sama ada untuk
berbulan madu ataupun bercuti bersama keluarga. Koh Samui misalnya, masih kekal
dengan keindahan alam semulajadinya yang amat memukau.
Kebiruan air lautnya dan kepelbagaian rupa
bentuk muka buminya menjadi tarikan utama pelancong seluruh dunia untuk ke
sini. Pantai Chaweng, Lamai, Bophut dan Maenam adalah pantai yang popular di
Koh Samui. Pengunjung akan terasa damai dan tenang menyaksikan pasir yang
memutih dan angin laut yang begitu menyegarkan di samping melihat kapal-kapal
layar dan bot-bot yang berlabuh di laut yang begitu jernih.
Selain itu, kuil Buddha seperti Big Buddha
dan mayat sami besar Buddha, Loung Pordoeng yang meninggal dunia 20 tahun
dahulu yang dipamerkan turut menjadi salah satu tarikan utama pelancong.
Paling menarik dan agak lucu, terdapat
batu berbentuk seperti alat sulit lelaki dan perempuan yang digelar Grandfather dan Grandmother Rock menjadi
tumpuan utama pelancongan di pantai Lamai sehinggakan kawasan ini penuh sesak
dengan kenderaan yang membawa pelancong untuk bergambar kenangan dengan
batu-batu ini.
Satu lagi tarikan populardi Koh Samui ini
ialah Namuang Safari Park. Di sini kita berpeluang menunggang gajah yang akan
membawa kita ke air terjun setinggi 80 meter. Gajah-gajah yang jinak ini mudah
didekati dan pelbagai gelagat dapat dilihat apabila kita menghulurkan pisang
untuk gajah-gajah ini makan.
Koh Samui juga terkenal dengan gugusan
pulau yang begitu indah di Angthong National Marine Park. Untuk ke sini,
pengunjung perlu mengambil pakej sehari yang disediakan oleh agensi-agensi
pelancongan. Pengunjung akan dibawa untuk snorkelling,
berkayak dan juga melawat gua-gua yang ada di pulau-pulau ini. Pastinya,
lawatan ke taman laut akan memberikan kenangan seumur hidup kepada kita.
Untuk berkunjung ke Koh Samui, terdapat
dua kaedah, iaitu dengan kapal terbang yang akan mendarat di Lapangan Terbang
Koh Samui, atau melalui jalan darat yang akan menggunakan feri yang bertolak
dari Donsak, Surrathani.
Sememangnya pelbagai destinasi dan
aktiviti dapat dilakukan sepanjang berada di Koh Samui. Dan perancangan perlu
dilakukan dengan teliti agar tarikan-tarikan utama ini di sini tidak terlepas
dari tentatif lawatan, terutamanya bagi mereka yang melancong tanpa mengambil
mana-mana pakej lawatan.
No comments:
Post a Comment