Monday, June 3, 2013

Pai Danok!



Pekan Danok amat popular sebagai pintu masuk utama ke negara Thailand. Kedudukannya yang berjiran dengan Bukit Kayu Hitam di penghujung Lebuh Raya Utara-Selatan ( PLUS ) menyebabkan ia menjadi pilihan pengguna untuk ke negara Gajah Putih ini berbanding Padang Besar di Perlis mahupun di Sungai Golok di Kelantan
Namun begitu, pekan yang begitu sinonim dengan julukan “Syurga Lelaki” ini membawa maksud yang agak negatif kepada kita. Tetapi, di sebalik kehidupan malamnya yang meriah dengan pusat-pusat hiburan, pekan Danok di selatan Thailand tetap menjadi tumpuan utama pelancong Malaysia untuk membeli-belah di siang hari. Tambahan pula, keselamatan di sini lebih terjamin berbanding daerah-daerah lain di selatan Thailand seperti Yala atau Naratiwhat.

Sesuai sebagai lokasi transit pelancong untuk ke lokasi percutian bertaraf dunia seperti di Koh Samui, Krabi ataupun Hatyai, Danok menyediakan pelbagai kemudahan dan barangan untuk dipilih dan dibeli. Pakaian sukan, pakaian wanita, buah-buahan dan beras Siam amat mudah didapati dan sekiranya pandai tawar menawar, pasti kita dapat memperolehi dengan harga yang amat murah. Lebih menarik, kesemua peniaga di sini mampu bertutur dalam Bahasa Melayu.
Tetapi, bagi yang berminat untuk membeli beras di sini, pastikan membelinya pada had 10 kilogram sahaja seorang kerana itulah had yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menyekang aktiviti penyeludupan.
Memandangkan pintu sempadan Malaysia ditutup pada jam 12.00 tengah malam, adakalanya pelancong yang tidak sempat untuk daftar keluar sempadan pada waktu tersebut akan memilih untuk bermalam di sini. Hotel-hotel juga semakin banyak dibina dan hargan biliknya pula tidak begitu mahal. 



Di samping aktiviti perniagaan barang-barangnya, Danok juga terkenal dengan makanan-makanan tradisi Thai dan kebanyakannya dijual oleh orang Islam dan semestinya halal. Pulut ayam, pulut bersama mempelam dan tomyam yang amat membuka selera banyak dijual di restoren dan gerai-gerai di sekitar pekan. Apabila tiba waktu malam, lebih banyak gerai-gerai makanan halal dibuka dan tidak menjadi masalah kepada pengunjung beragama Islam untuk menjamu selera pada waktu malam. Malah, ada penduduk di utara semanjung kerap ke sini semata-mata untuk menikmati hidangan makanannya sahaja.
Sekiranya ingin berkunjung ke Thailand mahupun mahu pulang ke Malaysia melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, pastikan anda singgah dahulu ke pekan Danok ini untuk membeli-belah ataupun menikmati juadah-juadah yang lazat yang terdapat di sini.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin meminati