Wednesday, February 20, 2013

Membeli-belah di Gerbang Malam, Ipoh
















IPOH memang bandaraya yang sibuk di siang hari. Menjelang malam, suasana menjadi tenang dan sunyi.
Namun, jika mengunjungi Jalan Tahwil Anuar, tatkala malam menjelma, anda dapat menyaksikan kesibukan peniaga menurunkan barang dagangan masing-masing dan membuka gerai mereka.

Sejak dibuka pada 2003, destinasi ini semakin mendapat sambutan di kalangan peniaga dan pengunjung. sesuai dengan namanya, Gerbang Malam Ipoh.

Semakin malam melabuhkan tirainya, semakin banyak kenderaan ber­pusu-pusu mencari tempat meletak kenderaan untuk mengunjung Gerbang Malam.

Justeru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan kemudahan meletak kenderaan di sekitar medan
perniagaan ini.



Malah, MBI memperuntukkan RM1 juta untuk menaik taraf Gerbang Malam pada tahun ini.

Terbaru, MBI dan Polis Diraja Malaysia menubuhkan pondok polis dua tingkat di lokasi Gerbang Malam bagi memantau keselamatan kawasan ini berikutan ia semakin mendapat sambutan dari warga tempatan.

Dengan slogan ‘Singgahla...Macam-macam Ada’, pelbagai barangan boleh didapati di sini.

Pakaian wanita, kasut, barang kraftangan dan aksesori telefon bimbit dapat dibeli di Gerbang Malam dengan harga yang berpatutan.

Dari 160 lot niaga yang ditawarkan, 130 daripadanya disewakan. Antara gerai
yang mencuri tumpuan, antaranya gerai yang menawarkan perkhidmatan melukis inai di tangan dan gerai menjual peralatan silap mata.

Pengunjung, Azizah Abd Salim, 30, berkata, dia kerap ke sini untuk mendapatkan barangan keperluan seperti kain tudung kerana harganya lebih murah dan boleh tawar menawar berbanding tempat lain.

Tambahnya, kesibukan di siang hari juga menyebabkannya memilih Gerbang Malam sebagai lokasi berbelanja.

Biarpun berkonsepkan ‘uptown’ seperti di kebanyakan tempat lain, Gerbang malam tetap mempunyai keistimewaan tersendiri menyebabkan kawasan ini sentiasa meriah dengan orang ramai dan sesak terutama pada malam minggu.

Pelancong asing yang menginap di bandaraya ini juga turut meluangkan masa membeli belah di sini.

Pada bulan Ramadan setiap tahun, Gerbang Malam bertambah sibuk dengan pertambahan gerai jualan.

Walau bagaimanapun, gerai makanan dan minuman tidak dibenarkan dibuka di Gerbang Malam mungkin atas faktor kebersihan, pengunjung dapat menjamu selera di medan selera atau restoran berdekatan.

Jika letih berjalan kaki atau untuk melancarkan peredaran darah, singgah saja di beberapa gerai urutan refleksologi, tukang urut bertauliah akan memberikan perkhidmatan mereka dengan bayaran berpatutan.

Justeru, jangan lepaskan peluang menikmati kemeriahan Gerbang Malam apabila mengunjungi Ipoh.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Monday, February 18, 2013

Chu Chi Tunnel, Vietnam - Ada Berani?

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Panik, sesak nafas dan teruja bercampur baur apabila penulis cuba meneroka satu laluan terowong Chu Chi.
Lenguh membongkok sepanjang laluan yang sempit dan gelap itu menyebab­kan penulis cuma mampu merangkak sejauh 50 meter saja.

Tetapi kesukaran dan keunikan terowong inilah yang membuatkan Vietnam menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

Chu Chi Tunnel ini me­ngalami proses sejarah yang panjang. Sistem pertahanan yang unik di dunia ini dibina selama 30 tahun.

Ada dakwaan terowong itu sepanjang 250 kilometer (km), tetapi musnah akibat dibom dan runtuh secara semula jadi.

Chu Chi Tunnel dibina sekitar 1940 ketika Perancis menjajah Vietnam. Selepas itu pembinaannya dipergiat­kan ketika era pendudukan Amerika Syarikat pada 1959 hingga 1975.

Strategi unik ini me­nyumbang kepada kekalahan tentera bersekutu. Terowong ini menjadi tempat tinggal di antara 7,000 hingga 8,000 tentera Viet Cong dan keluarga mereka.

Kubu bawah tanah ini dilengkapi bilik rawatan, mesyuarat, tempat memasak serta berek tentera.

Lebih mengerikan, kawasan sekitar dipenuhi jerangkap samar.

Chu Chi Tunnel bertambah misteri kerana sehingga kini, sejarah belum menemukan siapa perancang utama pembinaannya.

Di sini juga dipamerkan senjata yang pernah digunakan ketika perang dulu seperti AK47 dan rifel carbine. Peluru senjata ini dijual pada harga RM5 sebutir.

Di samping itu, sisa-sisa peperangan seperti kelongsong meriam dan bangkai kereta kebal turut menjadi tarikan.

Di akhir lawatan pe­ngunjung dijamu dengan ubi kayu kukus dicicah kacang tumbuk bercampur garam dan teh hijau panas yang menjadi makanan ruji pejuang di terowong.

Destinasi bersejarah ini hanya terletak 70km dari bandaraya Ho Chi Minh, tetapi disebabkan lalu lintas yang sentiasa sesak di kota itu, perjalanan boleh mengambil masa dua jam untuk sampai.

Bagi yang melancong secara pakej, tiada masalah untuk berkunjung ke tempat bersejarah kerana kebanyakan agensi pelancongan menjadikan lokasi ini sebagai destinasi wajib.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Segala tentang kucing di Muzium Kucing, Sarawak

Teks dan gambar oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin
Pelbagai versi cerita yang didengar me­ngenai asal usul nama Bandaraya Kuching, Sarawak. Yang popular dan dianggap logik iaitu ‘cochin’ berasal dari perkataan India bermaksud pelabuhan. Ia bersesuaian dengan fungsi bandar itu sebagai pusat pelabuhan terkenal dikalangan pedagang-pedagang India satu ketika dulu.
Apapun cerita asal-usulnya, ia tidak berkait langsung dengan nama haiwan iaitu kucing seperti tanggapan kebanyakan orang.

Kebetulan sebutannya hampir sama, justeru, kerajaan negeri Sarawak mengambil peluang menjadikan kucing sebagai ikon bandar raya.

Berkunjung ke bandar raya Kuching, pelbagai patung dan replika kucing di bina bagi menarik ramai pelancong untuk berkunjung ke situ.

Lebih menarik, sebuah muzium turut dibina di sini bagi menghimpunkan segala jenis bahan dan pameran berkaitan kucing.

Bukan itu saja, maklumat berkaitan haiwan jinak itu turut disediakan dan apa saja yang mempunyai perkataan kucing dipamerkan.

Ia bersesuaian dengan matlamat utama penubuhan muzium itu pada 6 November 1993 iaitu sebagai tempat untuk penyelidik dan pencinta kucing membuat penyelidikan me­ngenainya dari segi sejarah, sosial dan legenda dalam pembudayaan manusia yang ada hubungannya dengan persahabatan sejagat.

Pepatah dan makna ‘kucing bertanduk’ dan ‘malu-malu kucing’ juga dijadikan salah satu koleksi muzium itu. Yang lebih lucu aksi model-model jelita melakukan ‘catwalk’ atas pentas peragaan turut dipamerkan dan patung pencuri yang digelar ‘cat bugglar’ juga mencuri perhatian.

Di muzium ini, pengunjung tidak akan berjumpa dengan seekor pun kucing hidup kerana semuanya cuma patung, ilustrasi dan maklumat bertulis saja yang ada.

Biarpun begitu, ia tetap memberi banyak maklumat dan pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama.

Selain pameran, gerai-gerai cenderamata turut disediakan bagi kemudahan pelawat membeli ole-ole buatan Sarawak.

Muzium yang dicetuskan idea pembinaannya oleh Ketua Menteri Sarawak ini terletak di tingkat bawah bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di atas puncak Bukit Siol.

Kedudukan bangunan di puncak ini juga memberi peluang pengunjung menikmati pemandangan sekitar bandar raya Kuching.

Tiada caj dikenakan untuk melawatnya kecuali bagi yang membawa kamera dikenakan bayaran RM3 dan kamera video RM5.

Justeru, sekiranya mengunjungi Bandaraya Kuching, pastikan lawatan ke Muzium Kucing ini dimasukkan sebagai agenda percutian anda.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Sunday, February 17, 2013

Jom Kayuh Kayak ke Sempadan

SELEPAS menakluki kebanyakan pulau dan sungai di Semenanjung Malaysia, Kelab Kenu UUM mengorak langkah melangkaui sempadan apabila berjaya berkayak ke Satun, selatan Thailand, baru-baru ini.
Ekspedisi ini seolah-olah misi menjejak kasih kerana kelab sama berjaya menakluki Pulau Koh Yao ini pada 2001 dan mempunyai keluarga angkat dan kini diteruskan oleh ahli kelab lain pula.

Program dikenali 'Sea Kayaking Crossing 2 Countries And Charity Together Kayakers' ini turut menarik minat peserta luar, antaranya mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) selain beberapa orang awam yang aktif dalam aktiviti berkayak.

Seramai 80 peserta termasuk tiga pegawai pengiring terbabit dalam ekspedisi lima hari empat malam ini.

Ekspedisi bermula dari Kuala Perlis ke Puju dan Pulau Koh Yao ini diiringi bot Jabatan Kastam dan Polis Marin Thailand.

Selepas lima jam dilambung ombak, peserta tiba di Koh Yao tanpa sebarang masalah.

Pengarah program, Yurnalis Al-boharie Abdul Rahim, berkata program kali ini bukan saja membabitkan aktiviti air, tapi bakti siswa.

Menurutnya, peserta dibahagi kepada dua kumpulan iaitu mereka yang terbabit dengan kayak dan bakti siswa.

"Program kali ini ada kelainan kerana matlamat projek ialah memaksimumkan kapasiti aktiviti demi kebaikan peserta.

"Ia turut memberi pendedahan menyeluruh untuk mengoptimumkan lagi pengalaman di samping meraih pelbagai ilmu baru," katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti tinggal bersama keluarga angkat dan gotong-royong membersihkan masjid selain kelas agama dan bahasa Inggeris.

Peserta, Mohd Nazri Mohamaed Hashim, 20, dari UM berkata, dia cukup teruja dengan aktiviti dilaksanakan kerana mencabar fizikal dan kesabaran dalam melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat.

"Program ini biarpun penat tetapi berbaloi. Banyak pengalaman unik diperoleh sekali gus diharap dapat memacu lagi pembinaan jati diri saya untuk masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17

Tengok Ular di Muzium Negeri Kedah

Persepsi masyarakat apabila menyebut muzium, ia pastinya artifak atau koleksi yang kaku dan tidak menarik walaupun mempunyai nilai sejarah yang tinggi,
Justeru, bagi membuang tanggapan itu, Muzium Negeri Kedah mengorak langkah
dengan mengadakan pameran ular bagi menarik perhatian orang ramai termasuk
pelancong.

Terbukti, pameran “Bisa Berbisa” itu menarik minat pengunjung termasuk pelancong asing bagi melihat sendiri 100 spesies reptilia itu secara dekat.

Pameran itu diadakan sebulan bermula 6 Mei lalu.

Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri, berkata, pameran itu bertujuan memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai ular dan anatominya, cara berhadapan dengan risiko dipatuk ular dan perubatan berasaskan reptilia itu.

Beliau berkata, pelawat bukan saja mendapat maklumat mengenai ular tetapi berpeluang memenangi pelbagai hadiah melalui aktiviti diadakan seperti kuiz.

“Antara hadiah menarik yang kami sediakan termasuk termasuk televisyen LCD dan basikal.

“Lebih menarik, pameran turut disertai ratu ular negara, Puteri Nur Ariyani Saiful Yazad yang tinggal bersama 100 ular tedung dalam bilik kaca.

“Nur Ariyani akan bersama suaminya membuat pertunjukan bermain dengan ular-ular berbisa di sebelah malam,” katanya.

Di samping menghiburkan penonton, mereka turut memberikan petua berguna apabila berhadapan dengan ular dan saat kecemasan apabila dipatuk reptilia itu.

Aksi mereka yang mendebarkan membuatkan penonton teruja dan terleka.

Malah, celoteh mereka bersama penonton yang dijemput ke atas pentas menggamatkan suasana di dewan tersebut.

Rata-rata pengunjung ditemui amat berpuas hati dengan pameran “Bisa Berbisa” ini walaupun dikenakan tiket masuk RM4 bagi dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak.

Waktu lawatan sehingga jam 10 malam memberi peluang ibu bapa yang bekerja hadir bersama-sama anak mereka di sebelah malam.

Usaha dilakukan Muzium Negeri Kedah membuahkan hasil positif kerana kehadiran pengunjung setiap hari amat memberangsangkan.

Aksi Buaya Lapar di Taman Buaya Jong, Sarawak

Teks dan gambar Mohd Sharumnisham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my



Sekitar tahun 1982 sehingga 1991, reptilia sepanjang tujuh meter itu membaham 13 penduduk kampung.

Selepas membunuh mangsanya ke-14, haiwan itu dibunuh pemburu berbangsa Iban dan anggota polis.

Kini, tengkorak haiwan ganas itu dapat dilihat di Taman Buaya Jong, kira-kira 29 kilometer dari Bandaraya Kuching.

Asalnya, taman ini dibina bagi menternak buaya untuk kulitnya, tetapi konsepnya ditukar menjadi zoo.

Pelbagai reptiIia lain turut dipamerkan, antaranya burung dan haiwan lain yang terdapat di Kepulauan Borneo.

Terdapat juga tasik yang dihuni ikan arapaima gergasi, pastinya menarik melihat kocakan air apabila ikan ini berebut makanan.

Pengunjung juga boleh menonton pertunjukan memberi buaya makan. Ia diadakan jam 11 pagi dan 3 petang setiap hari.

Sepanjang 15 minit itu, pelawat dapat melihat aksi buaya yang kelaparan melompat untuk menyambar daging yang disangkut rel khas. Pastinya ramai akan leka dan terhibur melihatnya.

Taman ini juga dihuni seekor buaya digelar Bujang Sudin. Ia berusia 80 tahun dan dipelihara dalam kolam berasingan bagi kemudahan pelancong.

Bayaran masuk ialah RM16 bagi dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak. Ia dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

Taman ini semakin terkenal di kalangan pelancong dan antara destinasi wajib dikunjungi jika melancong ke Kuching.

Muzium Padi, Lambang Identiti Kedah Darul Aman

DIKENALI dengan jolokan ‘Negeri Jelapang Padi’, Kedah memang kaya dengan sawah padi terbentang luas, saujana mata memandang.
Memasuki sempadan negeri ini melalui Lebuhraya Utara Selatan (Plus), hamparan sawah padi di kiri dan kanan jalan seperti hamparan permaidani apatah lagi ketika padi masak.
Selain sumber makanan ruji rakyat negara ini, ia menjadi tarikan utama pelancongan di Kedah.

Ia dibuktikan dengan jumlah 200,000 pelawat mengunjungi Muzium Padi Kedah dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.


Di samping dapat melihat sejarah penanaman padi, pengunjung amat berminat dengan pelbagai kaedah, peralatan dan penghasilan padi dan beras yang dipamerkan.

Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata, bagi mempromosi muzium itu, pihaknya mengadakan Karnival Jom Pi Muzium Padi 2012 pada 27 September hingga 6 Oktober ini.

Beliau berkata, tahun lalu, karnival itu menarik 70,000 pengunjung dan pihak muzium berharap jumlah itu meningkat kepada 100,000 pengunjung tahun ini.

“Kami merancang pelbagai aktiviti dan program sepanjang 10 hari karnival ini, antaranya pertandingan orang kuat, masakan, menangkap itik, menyerkap ikan di sawah, pameran dan gerai jualan.

“Pengunjung juga berpeluang membawa pulang itik, lembu dan kambing sebagai hadiah cabutan bertuah.

“Hadiah unik ini adalah tarikan utama orang ramai untuk hadir memeriahkan karnival itu tahun ini,” katanya.

Menurutnya, waktu melawat Muzium Padi di Gunung Keriang ini dilanjutkan sehingga jam 11 malam sepanjang karnival berbanding 5 petang pada hari biasa.

Selain Muzium Padi, terdapat beberapa tempat menarik lain yang boleh dikunjungi seperti Gua Gunung Keriang, Pusat Sains Negara Cawangan Utara dan Rekreasi Gunung Keriang yang terkenal dengan gerai jualan kristal.

Untuk datang ke sini, anda boleh menggunakan Plus dan keluar di susur Tol Alor Setar Utara.

Lokasi muzium ini lapan kilometer dari Bandaraya Alor Setar dan bagi pelawat dari Perlis, anda boleh menggunakan jalan Kangar-Alor Setar dan membelok di persimpangan Alor Janggus untuk ke sini.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03

Manisnya Anggur Tasik Beris

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my




Siapa pun tidak akan percaya jika anda katakan anggur boleh ditanam di negara ini.

Namun, dengan perkembangan teknologi agro yang pesat di negara ini, sesuatu yang mustahil boleh menjadi kenyataan malah anggur yang diimport boleh berbuah lebat di negara ini.

Antara lokasi penanaman anggur terkenal di negara ini ialah Tasik Beris di Sik, Kedah.

Ladang seluas 1.6 hektar ini mula dibuka pada 2007 dan kini menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong luar untuk melihat sendiri ‘anggur Malaysia’ apatah lagi ia berbuah sepanjang tahun.

Black Opal, Black Grape, White Malaga dan Loose Pelite antara variasi anggur yang diusahakan di Tasik Beris.

Rasanya manis setanding anggur dari luar negara dan harganya lebih murah berbanding di pasar raya.

Dengan bayaran masuk RM4 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak, pengunjung berpeluang melihat sendiri buah anggur berwarna hijau dan hitam bergayutan di ranting pokok.

Tetapi pengunjung dilarang memetik buah itu. Jika mahu merasai kemanisan anggur ini, anda boleh membelinya di kaunter jualan.

Anda juga boleh membeli produk hasil anggur seperti jem, cordial, jeli dan karipap berinti anggur.

Sambil menikmati jus anggur dan kerangupan karipap anggur, anda dapat menikmati keindahan dan kedamaian Tasik Beris bersebelahan dan anak-anak bebas bermain di taman permainan.

Pihak pengurusan ladang membuka lagi sebuah lagi tapak penanaman anggur untuk lawatan pelancong di Sungai Senam.

Di sini dapat dilihat deretan plot-plot tanaman seluas 12 hektar dengan hampir 7,000 pokok.

Ladang Tasik Beris ini terletak tidak jauh dari Pekan Sik atau 47 kilometer dari susur keluar tol Gurun.

Selam Skuba @ Pulau Songsong, Kedah


SUATU ketika dulu, tiada sesiapa dibenarkan singgah di pulau ini termasuk nelayan. Sebelum merdeka, ia dikuasai tentera British.
Pada tahun 1940-an, pulau ini diserahkan kepada Tentera Udara Australia yang berpangkalan di Butterworth untuk dijadikan kawasan ujian peluru berpandu.
Selepas perjanjian bersama Kerajaan Malaysia tamat, pulau ini diletak di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pangkalan ujian serta latihan ketenteraan.

Tidak hairanlah pelancong dan nelayan dilarang menghampiri pulau itu.

Kini, permata yang tersembunyi ini kian mendapat perhatian daripada pengunjung terutama kaki pancing dan penyelam.

Biarpun bangunan usang dan terbiar bertaburan di sekitar pulau, pantainya yang memutih memang mendamaikan.

Anda dapat rasakan angin yang bertiup dari Selat Melaka amat menyamankan.
Lebih menarik, sebahagian dari pantainya dipenuhi batu kawi yang memberi
pemandangan menarik.

Menjelang Julai hingga September, perairannya dikunjungi bot pemancing dari dalam dan luar negara. Kawasan itu kaya dengan ikan tenggiri dan alu-alu selain sotong.

Dasar lautnya menjadi syurga baru penyelam. Lokasinya yang lebih dekat dari Pulau Payar dan peraturan lebih terbuka menjadikan taman laut itu menarik pengunjung meneroka khazanah alam ini.

Bekas Penghulu Mukim Dulang, Yan, Kedah, Rosmidi Osman berkata, pelbagai spesies hidupan laut boleh dilihat, antaranya clown fish, udang kara, landak laut dan terumbu karang pelbagai bentuk.

Beliau yang juga penyelam bertauliah, turut menjadi jurupandu kepada kumpulan penyelam yang mahu melihat keindahan dasar laut Pulau Songsong.

“Majlis Daerah Yan dengan kerjasama Pejabat Daerah Yan serta Kerajaan Kedah sentiasa menjalankan program konservasi bagi memelihara kebersihan dan keindahan pantai serta dasar lautnya.

“Pulau ini adalah khazanah laut yang perlu dijaga,” katanya.

Pulau Songsong yang terletak di daerah Yan, Kedah terletak kira-kira 35 minit perjalanan dengan bot dari Jeti Tanjung Dawai atau 20 minit dari Jeti Sungai Udang, Yan.

Jika datang ke sini, anda juga boleh mengunjungi kawasan persekitaran, antaranya Pulau Telur, Pulan Bidan dan Pulau Bunting.

Anda yang mahu berkhemah dan bermalam, maklumkan kepada pihak berkuasa agar tindakan segera boleh diambil jika berlaku sesuatu perkara.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07

Thursday, February 14, 2013

Indahnya Homestay Relau, Kedah Darul Aman


Teks dan Gambar Mohd Sharumnisham Shahbudin

KEDAH mempunyai beberapa perkampungan homestay yang diiktiraf Tourism Malaysia, antara yang terbaik ialah Homestay Relau.
Terletak di daerah Bandar Baharu, 128 kilometer daripada bandaraya Alor Setar, anda yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dari Kuala Lumpur boleh menggunakan susur keluar Jawi untuk ke Relau.
Uniknya kampung ini, ia terletak berjiran dengan Pulau Pinang dan tidak jauh dari Parit Buntar, Perak. Jadi, anda boleh berada di tiga negeri berbeza.

Homestay Relau terletak di bawah koordinasi Sri Impian Travel and Recreation yang dipimpin Abdul Razak Hamid.

Abdul Hamid berkata, sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, inap desa itu menerima pengunjung pelbagai bangsa termasuk pelancong luar dari Jepun, Korea, Eropah dan Afrika.

Katanya, Homestay Relau menjadi pilihan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengadakan program keluarga angkat dan khidmat masyarakat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Homestay Malaysia, berkata 24 daripada 40 rumah yang menyertai program itu mendapat lesen Kementerian Pelancongan.

“Kita tidak mempunyai pantai yang cantik, air terjun menarik atau pulau yang indah tetapi di sini, anda boleh melihat landskap kampungnya selain kekayaan budaya Melayunya yang masih menebal.

“Anda berpeluang menjadi anak angkat kepada keluarga yang bekerja sebagai penoreh getah dan petani.

“Kami akan memberi kesempatan anak-anak angkat menoreh getah atau membajak sawah selain menikmati masakan kampung keluarga angkat,” katanya.

Aktiviti lain disediakan homestay ini ialah gotong-royong, sukaneka bersama keluarga angkat dan melawat perusahaan kecil di kampung, antaranya tanaman cendawan, membuat dodol, rempeyek dan tanaman bunga.

Pada malam terakhir, katanya peserta berpeluang melihat persembahan tarian Melayu, dikir barat dan adat istiadat perkahwinan Melayu oleh kumpulan kebudayaan Homestay Kampung Relau.

“Antara Julai dan Di­sember, pelancong boleh menikmati pelbagai buah seperti durian, dokong dan rambutan.

“Durian Relau terkenal sebagai yang terbaik di negeri Kedah terutama dari jenis Raja Kunyit dan Duri Hitam,” katanya.

Kebiasaannya, pada musim ini, rumah homestay ditempah pelancong Jepun dan Singapura untuk menikmati keenakan buah-buahan tempatan.

Katanya, penginapan di inap desa itu memang selesa apatah lagi kerajaan menyediakan bantuan untuk menaik taraf bilik-biliknya.

“Penginapan disediakan bilik air dan tandas berasingan bagi memberi keselesaan kepada pelancong,” katanya.

Homestay turut mendapat sokongan Lembaga Kemajuan Kedah (KEDA), Pejabat Daerah Bandar Baharu dan Pejabat Pertanian Daerah Bandar Baharu.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/21 

Anda mungkin meminati