Sunday, June 23, 2013

Jom Makan di BBQ Steamboat


 Menjelang malam, otak pasti ligat memikirkan menu apakah yang akan dijamah untuk makan malamnya. Sekiranya sudah jemu dengan nasi atau makanan ruji yang lain, apa kata malam ni ini kita mencuba makanan ala steamboat pula.

Jika dahulu, amat sukar untuk menemui premis-premis yang menyediakan stemboat ini, terutamanya secara layan diri dan pastinya yang halal. Jika adapun, kebanyakannya diragui status kehalalannya.

Kini, jika berada di Bandaraya Alor Setar dan berkeinginan menikmati hidangan steamboat, singgahlah ke BBQ Steamboat yang terletak enam kilometer dari pusat bandar.

Konsepnya yang santai dan terbuka menarik perhatian pengunjung dari pelbagai lapisan. Tambahan pula, perkhidmatan wifi percuma yang disediakan menjadikan ia  lokasi kegemaran golongan remaja.

Menurut pemiliknya, Puan Noraini Sulaiman, konsep steamboat ini timbul setelah memerhatikan di Alor Setar belum ada ada restoren stemboat, kebanyakannya adalah masakan Thai dan nasi kandar. Usaha beliau mencubanya setahun lalu tidak sia-sia kerana saban malam, semua meja yang mampu memuatkan hampir 200 orang pelanggan sentiasa penuh. Malah, menjelang malam minggu atau cuti umum, ramai yang terpaksa pulang hampa tiada lagi meja yang kosong.

Dengan membayar RM 17 untuk dewasa dan RM 10, para pelanggan boleh memilih sesuka hari pelbagai bahan untuk menyiapkan sendiri juadah mereka. Terdapat pelbagai jenis makanan laut, daging, ayam yang diperap dengan macam-macam cara dan  sayur-sayuran yang boleh dipilih bersama sup ayam atau tomyam berserta nasi goreng mee goreng sedia menanti pengunjung.

Sesuai dengan slogannya “Makan Sampai Puas”, dengan membayar harga tersebut, pelanggan boleh makan apa sahaja sehingga restoren menutup operasinya pada jam 12 malam Lebih menarik, para pengunjung dapat menyediakan sendiri air batu campur mereka mengikut citarasa masing-masing. Kanak-kanak pula pasti suka dengan aiskrim pelbagai perisa yang turut disediakan secara percuma di sini.

Di samping itu, menjelang bulan Ramadhan ini, pihak BBQ Steamboat turut menganjurkan pertandingan fotografi pelanggaan yang pernah ke sini dan hadiahnya semestinya dapat berbuka puasa secara percuma di sini bersama keluarga.
Dengan tempat kereta yang luas dan lokasinya yang berhadapan Hospital Sultanah Bahiyah, menjadikan BBQ Steamboat ini mudah untuk dikunjungi. Andainya anda berhasrat untuk datang bersama keluarga atau rakan-rakan terutama untuk meraikan sesuatu, eloklah membuat tempahan meja terlebih dahulu akan kehadiran anda nanti tidak akan mengecewakan anda sekeluarga



Wednesday, June 5, 2013

Pai Koh Samui






Negara Thailand memang terkenal dengan keindahan pulau-pulau dan pusat-pusat peranginan bertaraf dunia. Namun begitu, kebanjiran terlalu banyak pelancong menyebabkan keindahan-keindahan semulajadi ini semakin tercemar dengan pembangunan dan juga masalah-masalah sosial seperti yang berlaku di Phuket dan Pattaya

Tetapi masih ada lagi destinasi-destinasi yang masih lagi terpelihara dan sesuai untuk lokasi percutian, sama ada untuk berbulan madu ataupun bercuti bersama keluarga. Koh Samui misalnya, masih kekal dengan keindahan alam semulajadinya yang amat memukau.

Kebiruan air lautnya dan kepelbagaian rupa bentuk muka buminya menjadi tarikan utama pelancong seluruh dunia untuk ke sini. Pantai Chaweng, Lamai, Bophut dan Maenam adalah pantai yang popular di Koh Samui. Pengunjung akan terasa damai dan tenang menyaksikan pasir yang memutih dan angin laut yang begitu menyegarkan di samping melihat kapal-kapal layar dan bot-bot yang berlabuh di laut yang begitu jernih.

Selain itu, kuil Buddha seperti Big Buddha dan mayat sami besar Buddha, Loung Pordoeng yang meninggal dunia 20 tahun dahulu yang dipamerkan turut menjadi salah satu tarikan utama pelancong.

Paling menarik dan agak lucu, terdapat batu berbentuk seperti alat sulit lelaki dan perempuan yang digelar Grandfather dan Grandmother Rock menjadi tumpuan utama pelancongan di pantai Lamai sehinggakan kawasan ini penuh sesak dengan kenderaan yang membawa pelancong untuk bergambar kenangan dengan batu-batu ini.

Satu lagi tarikan populardi Koh Samui ini ialah Namuang Safari Park. Di sini kita berpeluang menunggang gajah yang akan membawa kita ke air terjun setinggi 80 meter. Gajah-gajah yang jinak ini mudah didekati dan pelbagai gelagat dapat dilihat apabila kita menghulurkan pisang untuk gajah-gajah ini makan.

Koh Samui juga terkenal dengan gugusan pulau yang begitu indah di Angthong National Marine Park. Untuk ke sini, pengunjung perlu mengambil pakej sehari yang disediakan oleh agensi-agensi pelancongan. Pengunjung akan dibawa untuk snorkelling, berkayak dan juga melawat gua-gua yang ada di pulau-pulau ini. Pastinya, lawatan ke taman laut akan memberikan kenangan seumur hidup kepada kita.

Untuk berkunjung ke Koh Samui, terdapat dua kaedah, iaitu dengan kapal terbang yang akan mendarat di Lapangan Terbang Koh Samui, atau melalui jalan darat yang akan menggunakan feri yang bertolak dari Donsak, Surrathani.

Sememangnya pelbagai destinasi dan aktiviti dapat dilakukan sepanjang berada di Koh Samui. Dan perancangan perlu dilakukan dengan teliti agar tarikan-tarikan utama ini di sini tidak terlepas dari tentatif lawatan, terutamanya bagi mereka yang melancong tanpa mengambil mana-mana pakej lawatan.

Monday, June 3, 2013

Pai Danok!



Pekan Danok amat popular sebagai pintu masuk utama ke negara Thailand. Kedudukannya yang berjiran dengan Bukit Kayu Hitam di penghujung Lebuh Raya Utara-Selatan ( PLUS ) menyebabkan ia menjadi pilihan pengguna untuk ke negara Gajah Putih ini berbanding Padang Besar di Perlis mahupun di Sungai Golok di Kelantan
Namun begitu, pekan yang begitu sinonim dengan julukan “Syurga Lelaki” ini membawa maksud yang agak negatif kepada kita. Tetapi, di sebalik kehidupan malamnya yang meriah dengan pusat-pusat hiburan, pekan Danok di selatan Thailand tetap menjadi tumpuan utama pelancong Malaysia untuk membeli-belah di siang hari. Tambahan pula, keselamatan di sini lebih terjamin berbanding daerah-daerah lain di selatan Thailand seperti Yala atau Naratiwhat.

Sesuai sebagai lokasi transit pelancong untuk ke lokasi percutian bertaraf dunia seperti di Koh Samui, Krabi ataupun Hatyai, Danok menyediakan pelbagai kemudahan dan barangan untuk dipilih dan dibeli. Pakaian sukan, pakaian wanita, buah-buahan dan beras Siam amat mudah didapati dan sekiranya pandai tawar menawar, pasti kita dapat memperolehi dengan harga yang amat murah. Lebih menarik, kesemua peniaga di sini mampu bertutur dalam Bahasa Melayu.
Tetapi, bagi yang berminat untuk membeli beras di sini, pastikan membelinya pada had 10 kilogram sahaja seorang kerana itulah had yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menyekang aktiviti penyeludupan.
Memandangkan pintu sempadan Malaysia ditutup pada jam 12.00 tengah malam, adakalanya pelancong yang tidak sempat untuk daftar keluar sempadan pada waktu tersebut akan memilih untuk bermalam di sini. Hotel-hotel juga semakin banyak dibina dan hargan biliknya pula tidak begitu mahal. 



Di samping aktiviti perniagaan barang-barangnya, Danok juga terkenal dengan makanan-makanan tradisi Thai dan kebanyakannya dijual oleh orang Islam dan semestinya halal. Pulut ayam, pulut bersama mempelam dan tomyam yang amat membuka selera banyak dijual di restoren dan gerai-gerai di sekitar pekan. Apabila tiba waktu malam, lebih banyak gerai-gerai makanan halal dibuka dan tidak menjadi masalah kepada pengunjung beragama Islam untuk menjamu selera pada waktu malam. Malah, ada penduduk di utara semanjung kerap ke sini semata-mata untuk menikmati hidangan makanannya sahaja.
Sekiranya ingin berkunjung ke Thailand mahupun mahu pulang ke Malaysia melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, pastikan anda singgah dahulu ke pekan Danok ini untuk membeli-belah ataupun menikmati juadah-juadah yang lazat yang terdapat di sini.

Anda mungkin meminati