Sunday, April 27, 2014

CABARAN SUNGAI PADAS

Cabaran Bermula



    Hampir keseluruhan sungai, tasik dan pulau sekitar Semenanjung ditakluki. Itulah reputasi ahli alumni Kelab Kenu Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kembali berhimpun dalam Cabaran Berakit Air Deras (white water rafting) Sungai Padas di Beaufort, Sabah baru-baru ini.

Meskipun ahli alumni meninggalkan sukan terbabit lebih 15 tahun, semangat serta terujanya kumpulan itu mengharungi jeram popular di negeri bawah bayu itu membuak-buak.Sebelum itu, mereka menempuh pelbagai cabaran, termasuk berasak-asak dengan penduduk setempat untuk menuju ke lokasi.

Namun sebaik tiba di lokasi, jelas mereka teruja dan ada yang tersenyum mentafsirkan kepuasan tidak terhingga.SUASANA dalam kereta api yang menjadi pengangkutan utama ke Padas.

Menurut pengarah program, Mohd Faisol Ahmad, sekian lama tidak bertemu, dia dan rakan sepakat memilih melakukan ‘white water rafting’ untuk mengerat­kan silaturahim.Beliau selaku perancang utama program, mengambil masa lima bulan untuk merealisasikan pertemuan itu.“Bukan mudah mengumpul rakan lama yang terikat dengan pelbagai komitmen masing-masing. Ketika di universiti, kami berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti berkaitan air ketika cuti semester serta hujung minggu. Maklumlah, dulu kami ahli Kelab Kenu UUM.

“Kali ini, menjadi cabaran buat saya untuk mengumpulkan mereka serta mencari waktu sesuai. Tambah pula lokasi pusat rakit deras ini terletak di Sabah, jadi kami perlu mencari masa sesuai selain menyiapkan keperluan tertentu selepas beberapa tahun tidak aktif berkayak,” katanya yang akhirnya berjaya menemui operator (pusat pengendalian aktiviti itu) sepadan dengan jadual rakannya.Tambah penjawat awam itu, kesabaran menanti lima bulan sebelum dapat melakukan aktiviti terbabit berbaloi apabila sepanjang perjalanan menuju ke lokasi pusat sukan ekstrem air penuh dengan cabaran itu, sekali gus membayangkan betapa hebatnya penangan Sungai Padas

.“Bagi penggemar sukan lasak air seperti saya, Sungai Padas antara lokasi yang wajib dikunjungi. Malah, penduduk sekitar Beaufort sedia maklum reputasi sungai terbabit yang disenaraikan antara lokasi paling popular untuk sukan ‘white water raf­ting’.“Malah, perasaan teruja membuak-buak seperti deburan air di sungai yang mempunyai lapan jeram pada jarak 10 kilometer perlu dilepasi setiap peserta. Malah, tahap kesukaran yang paling rendah ialah tiga,” katanya.

Peserta wanita, Roslina Abd Ghani mengakui peristiwa hampir lemas ketika menyertai aktiviti serupa sewaktu menuntut di universiti dulu membuatkan dia ragu-ragu menyertai ekspedisi.“Kalau diikutkan, perasaan takut mengatasi rasa teruja. Saya pernah tercampak dari air dan dibawa arus. Rasa sakit, sejuk dan takut tidak boleh dibayangkan. Mujur sukan ini secara berkumpulan, menyebabkan rakan satu bot berusaha menyelamatkan saya.

“Melihat kembali air dan deburan air berbuih sehing–ga tenggelam batu di jeram membuatkan saya berdebar resah.“Melihat situasi itu, suami, Mohd Hamizan Abdullah @ Helip Loni memberi kata-kata semangat. Lama-kelamaan saya bertenang dan mula menikmati keseronokan aktiviti itu,” kata–nya.Perunding berusia 39 tahun turut memaklumkan, sesi latihan membiasakan diri di dalam air yang diadakan oleh operator aktiviti, Riverbug Adventure membuatkan dia yakin dengan langkah keselamatan diambil.

“Sebelum menghadapi jeram di sungai ini, peserta diberi taklimat oleh jurupandu dari Riverbug. Dia menerangkan aspek keselamatan serta cara menangani situasi kecemasan ketika di dalam air.“Kemudian slot ‘water confident’ turut diwajibkan kepada peserta sebagai langkah pengenalan. Saya memakai topi keledar dan jaket keselamatan lalu dihanyutkan sebelum diselamatkan ahli kumpulan mahupun jurupandu kami. Latihan ini kritikal kerana ia latihan di dalam air untuk melenyapkan rasa panik ketika saat kecemasan,” katanya.

Selain dipukau keseronokan berakit di jeram terbabit, seawal memulakan perjalanan dari Kota Kinabalu ke lokasi juga disifatkan tarikan unik.Buat peserta dari Perak, Azeman Ibrahim, perjalanan dua jam dengan kereta api antara pengalaman menarik dalam aktiviti terbabit.“Setibanya di Beaufort, perkhidmatan kereta api antik yang beroperasi sejak 1905 menjadi pengangkutan utama ke Sungai Padas. Perasaan menaiki kereta api di sini berbanding pengangkutan sama di Semenanjung jauh bezanya.“Difahamkan, kenderaan terbabit adalah pengangkutan utama sejak 1905 sehing­ga sekarang.

Saya berpeluang menikmati keindahan alam sepanjang perjalanan dalam pada masa sama menyelami kehidupan warga tempatan di sini.“Saya dan rakan terpaksa bersesak-sesak dan mengharungi keadaan panas, tetapi kami masih boleh tersenyum dan ketawa. Bagi saya, ia memori paling manis yang akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Pendapat sama dikongsi temannya, Syed Azam Fouzi Syed Ahmad. Dengan harga tiket cuma RM2.20, dia dan rakan berasa pengalaman itu terlalu besar berbanding nilai yang perlu dibayar.“Nilai kecil tambang dirasakan besar manfaatnya kepada masyarakat di sini kerana ia satu-satunya jentera hubungan yang ada.

“Buat saya dan rakan pula, pertemuan bersama rakan selepas berbelas-belas tahun tidak bertemu menerusi pengalaman unik ini adalah paling bermakna,” katanya.

EKPRESI METRO AHAD
Sementara itu, peserta paling junior, Muhammad Razif Mansor berkata, kesempatan menyertai aktiviti rekreasi bersama senior menunjukkan persahabatan terbabit melangkaui usia.“Saya selesa bersama mereka dan cara mereka melayan, termasuk memberi tunjuk ajar, membuatkan saya berasa dihargai.

“Walaupun ada yang tidak pernah bertemu muka, saya tidak ada masalah untuk bertegur sapa dan kami berbual seperti sudah lama kenal,” katanya sambil berharap lebih ramai ahli alumni ditemui dalam program akan datang.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Thursday, April 3, 2014

NIKMATI PERMANDANGAN DI PUNCAK BUKIT BENDERA

Anda tidak pernah ke Pulau Pinang sehingga anda naik ke Bukit Bendera”.Begitu kata-kata terjemahan papan iklan dalam bahasa Inggeris yang menyambut ketibaan pengunjung di Bukit Bendera. "">Ayat itu bermakna Bukit Bendera adalah destinasi wajib setiap pelancong ke negeri Pulau Mutiara itu untuk bercuti. Biarpun negara kini dilanda cuaca panas dan kemarau, keadaan di sini tetap dingin dan angin yang menghembus lembut.PEMANDANGAN Georgetown dari atas Bukit Bendera.Ini sebabnya pada orang Inggeris di era kolonial abad 17 dan 18 meneroka dan membina kediaman di bukit dengan ketinggian 833 meter dari aras laut itu kerana ingin lari dari cuaca Georgetown yang panas.Sehingga kini, terdapat 44 banglo yang yang masih kukuh dan boleh dilawati.
Banglo tertua dipercayai dibina pada 1803. Setibanya pengunjung menjejakkan kaki di atas, mereka akan disajikan pemandangan indah sekitar bandar raya yang berada di bawah termasuk jambatan Pulau Pinang dan pelabuhan yang sibuk yang terletak di tanah besar, Butterworth. Bukit Bendera atau Penang Hill kini diletak di bawah pengurusan Perbadanan Bukit Bendera. Pihak perbadanan sudah menaik taraf pelbagai kemudahan bagi menambahkan keselesaan kepada pelawat. Kini terdapat 25 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan terkenal Pulau Pinang di The Cliff CafÈ yang menjadi pilihan orang ramai untuk menjamu selera. Di samping itu, tarikan terbaru di Bukit Bendera ialah Muzium Burung Hantu. Tetapi, jika anda berharap untuk melihat burung hantu yang hidup, anda pasti hampa kerana muzium ini menghimpun koleksi dan kraftangan yang bermotifkan burung hantu saja. Selain itu, Taman Herba dan Taman Monkey Cup yang mempamerkan pelbagai jenis tumbuhan spesies periuk kera juga menarik untuk dilawati. Di sini juga terdapat sebuah masjid, kuil dan balai polis yang berseni bina era Inggeris. Pelancong juga dapat melihat kereta api kayu yang mula-mula dibina bagi menghubungkan Bukit Bendera dengan aras bawah di Dataran Bukit Bendera. Sebuah meriam berusia 250 tahun yang digunakan ketika mempertahankan Pulau Mutiara ini di era penjajahan dulu juga boleh dilihat di Bukit Bendera. Bagi pencipta alam, mereka pasti teruja meneroka hutan tropika sekitar Bukit Bendera yang berusia lebih 10 juta tahun cuma mereka dinasihatkan mendapatkan penunjuk arah daripada pihak perbadanan bagi mengelak sebarang risiko termasuk tersesat. Selain tempat menarik, tarikan utama ke sini ialah kereta api elektrik yang membawa orang ramai ke atas. Sepanjang perjalanan tujuh minit itu, kereta api itu akan melalui terowong dan pemandangan menarik lain. Perjalanan turun pasti mendebarkan apabila meluncur laju melalui kecuraman sehingga 50 peratus. Di samping kereta api, Bukit Bendera boleh dihubungi melalui jalan darat yang sesuai untuk pacuan empat roda dari Taman Botanikal Pulau Pinang dan laluan pejalan kaki yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/03

Anda mungkin meminati